Resensi Buku Karya Terakhir oleh Muhd Kamil Ibrahim
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati.
Ayat 30, Surah Az-Zumar.
Tajuk: Karya Terakhir
Pengarang: Muhd Kamil Ibrahim
Mukasurat: 300
Sumber: Pinjam daripada sahabat
Penulis Prof Muhd Kamil Ismail (MKI) meninggal dunia pada 14 Januari 2025 pada usia 60+++ tahun.
Semasa beliau menulis buku ini pada 2022 pada umur 58 tahun.
Ada beberapa kali diulang sekiranya mengikut usia wafat baginda Rasulullah saw dan kedua arwah ibu bapa MKI.
Beliau cuma ada 2 tahun untuk menambahbaik ibadah, membuat amal kebajikan, melaksanakan apa yang dihajatkan dan menghabiskan baki umur bersama keluarga tersayang.
Beliau anggarkan mungkin beliau akan meninggal dunia sekitar umur 60 tahun.
Karya Terakhir merupakan buku terakhir Prof MKI mengajak pembaca untuk kembali kepada hakikat hakiki di mana kita semua akan mati pada masa yang telah ditetapkan tidak cepat atau lambat sesaat.
Buku ini mencatat kisah penulis daripada:
✅zaman belajar di MRSM Kota Bharu
✅menjadi Profesor termuda pada usia 39 tahun
✅menunaikan Haji pada umur 43 tahun yang membawa kepada penulisan Travelog Haji (buku pertama penulis yang den baca)
✅pengalaman bertugas sebagai pensyarah di Universiti Madinah (buku kedua beliau den baca adalah Nota-Nota dari Madinah)
✅rezeki menunaikan umrah setiap tahun
✅pengalaman menjadi pensyarah dan berdakwah seantero tempat bersama UniKL
✅penyakit diabetes, darah tinggi, sakit jantung, bell's palsy dan kegagalan buah pinggang tahap 5 dan usaha rawatan perubatan moden, sunnah, akupuntur, etc yang dibuat
✅usaha dakwah berterusan tanpa menerima sebarang bayaran, etc.
Menurut Prof MKI, terdapat 7 fasa kehidupan manusia.
Disebabkan den udah memasuki fasa 5, den fokus kepada 3 fasa terakhir kehidupan ini:
✅Fasa 5: Usia 41 - 50 tahun (baki 16.67% kehidupan)
✅Fasa 6: Usia 51 - 60 tahun (menanti saat kematian)
✅Fasa 7: Usia melebihi 61 tahun (waktu bonus)
Prof MKI memberikan beberapa cadangan yang kita perlu buat bagi memaksimakan umur berbaki sebagai hamba Allah yang berusaha mendapatkan rahmat Allah dengan harapan diizinkan masuk ke dalam syurga tanpa hisab.
Pesan Prof MKI, dengan umur berbaki ini, usahakanlah sedaya upaya:
1.bangun solat malam
2.berpuasa sunat
3.membaca Al-Quran setiap hari
4.sentiasa berzikir
5.solat berjemaah bagi lelaki
6.berbuat baik sesama manusia
Disebabkan den udah dalam Fasa 5, buku ini sememangnya menyentuh hati kerana hakikat sihat sebelum sakit semakin terasa apabila usia makin meningkat.
Semakin banyak penyakit yang menyinggah ke tubuh badan.
Begitu banyak ibadah yang perlu diperbanyakkan dan diperbaiki dengan baki umur yang masih ada ini.
Hayat Prof MKI sehingga 60 tahun.
Hayat den belum tahu lagi entah sampai bila kerana mati ini adalah rahsia Allah.
Entah sempat cecah umur 60 tahun pun belum tentu.
Apa yang pasti akan tiba tidak cepat atau lambat sesaat.
Buku yang kesembilan den baca pada tahun 2025 ini memang agak menusuk kalbu.
Apabila melihat kepada keadaan diri sendiri.
Mengenangkan dosa seluas bumi.
Tidak banyak menyumbang kepada masyarakat sebagaimana yang dibuat oleh Prof MKI seusai beliau balik daripada menunaikan ibadah Haji pada usia 43 tahun.
Masih sibuk terpesona dengan hiasan dunia yang sementara.
Semoga dengan usia berbaki ini, kita sama-sama dapat memperbaiki dan memperelokkan ibadah kita.
Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita hingga ke syurga.
In sya Allah.
0 Comments