Selamat Tinggal Tahun 2024. Tahun Muhasabah Diri.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Di hari terakhir penutup tahun 2024, den cuba recaps apa kehidupan den sepanjang 364 hari yang lepas.
Kalau ada satu ayat untuk menyimpulkan tahun 2024 den.
Ianya adalah Tahun Muhasabah Diri.
Bukannya tahun-tahun sebelum ini den tidak usaha muhasabah diri.
Tetapi tahun 2024 ini dia jadi macam mahu tidak mahu den kena muhasabah diri.
Terpaksa muhasabah diri.
Begitu.
Tahun ni ada banyak sangat urusan den dipermudahkan.
Cuma duit ribu riban Allah belum izinkan ado lagi😅.
Allah bagi den rezeki berlapang dada, pasrah dan redha untuk banyak perkara terpleot yang berlaku dalam hidup den.
Kalau ikut den biasanya den memang akan melatah, melompat, sakit hati, rasukan abalasa apa semua lengkap la.
Bercakap atau mengomel dengan beberapa orang terdekat masih ada.
Cuma sesi mengadu, meluah rasa, dsb semakin kurang.
Tahun ini banyak perkara den terguna beberapa konsep yang den tak sangka den akan guna.
‘Lorrrr….ya udah…hendak diapakan lagi ye tak?’.
‘Dasar kesambet setan begitulah gamaknya ye’.
‘Ayuh la kita tetap terus bertahan hidup’.
‘So apa yang kita boleh buat? Biarkan aje la ye’.
‘Don’t tell, don’t explain and let go.’
Den risau hendak pergi kerja macam mana lepas sunbae bersara.
Allah bagi den berjumpa dengan Bas Selangorku yang awesome.
Siap boleh punch in sebelum 7.30 am lagi kebiasaannya.
Ini den bersyukur sangat.
Den musykil apa yang istimewa den hendak belanjakan duit RM5 corak lama yang den simpan dalam 2,3 tahun.
Ada tak sampai RM200 pun tetapi tetap la duit kan?
Den berangan hendak buat something special dengan duit tuh.
Allah bagi satu perkara yang den tidak mampu tolak untuk gunakan duit tersebut.
Dia macam terus pejam mata dan belanja untuk perkara tersebut.
Tiada dakwa dakwi.
Den dok risau tidak jumpa guru mengaji untuk anak-anak den.
Allah hadirkan seorang ustazah yang mengajar dengan sebutan huruf, makhraj dan tajwid yang betul.
Bayarannya hanya RM20 seorang bagi setiap 20 kelas.
1 kelas = RM1.
Kelas pula sepelaung dari rumah.
Budak-budak boleh naik basikal.
Ada beberapa keputusan besar yang Allah izinkan untuk dibuat pada tahun ini.
Melepaskan sesuatu yang telah banyak berjasa dan sangat disayangi untuk menyelamatkan sesuatu yang lebih penting (harapnya la hehehehe).
Sebelah kaki sudah melangkah untuk beralih arah.
Cubaan untuk preseverance.
Silently walking away no matter how much I wish I could stay.
Jadinya sebagaimana ayat Surah Ar-Rahman yang diulang sebanyak 31 kali.
Banyak sangat nikmat yang Allah bagi.
Peringatan pun Allah bagi juga.
Jadi den dok terfikir sampai bila den hendak melagho?
Den recaps sekupang dua apa berlaku dalam hidup den pada tahun 2024 ni ye.
Kehilangan
Emak mertua den meninggal dunia pada bulan 15 Ogos 2024.
4 tahun emak bedridden.
Allah bagi rezeki den mandikan arwah dan bersama-sama mengkafankan dia.
Hilang sudah keramat hidup den lagi seorang.
Arwah emak meninggal pada 22 Oktober 1988.
Arwah abah meninggal dunia pada 12 Disember 2022.
Tinggal bapa mertua den je yang masih ada.
Dia pun tidak beberapa sihat.
Arwah emak mertua den ni sebaik-baik umat.
Memang dalam kategori emak mertua dari syurga.
Menjaga den dalam pantang masa anak pertama.
Dia pesoh baby dan den 100%.
Den cuma breastfeed baby dan tengok sinetron je.
Orang lain dalam pantang kurus.
Den dalam pantang membulat dengan jayanya😅.
Kalau sebut teringin hendak makan apa memang akan dimasakkan.
Sentiasa simpankan kulit ayam dan hati ayam goreng untuk den sebab dia tau favourite den.
Selalu buat kopi o untuk den masa den dok melangut
tengok televisyen selepas makan malam.
Den selalu cakap dengan dia ‘emak doakan Sarie kaya kayak tau mak’😅.
Tiada dah orang den nak minta doakan macam tuh.
Menaip ni berlinang-linang air mata den.
Mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah emak mertua den ye, JARIAH BTE SAMADI.
Ustaz kata bila ada kematian berlaku, sebenarnya dia adalah peringatan untuk kita yang masih hidup.
Yang semakin hari kita semakin dekat dengan lubang kubur.
Hakikat kematian akan berlaku bila-bila masa.
Kesihatan
Alhamdulillah family kecil den sihat.
Sakit-sakit biasa yang bisa dirawat di klinik.
Cuma den agak terpleot tahun ini.
Dengan influenzanya.
Jangkitan kuman dalam darah.
Demam, batuk dan selsema berpanjangan bagai.
Sakit yang kena bertukar antibiotik bagai.
Sampai doktor pun pusing kepala asyik jumpa den je😅.
Sampai terlebih guna la peruntukan panel klinik pejabat asbab kesihatan den ni.
Migraine jangan cerita la ye.
Seolah-olah teman baik tidak sanggup berpisah begitu😅.
Panas berlebih migraine.
Terlebih sejuk migraine.
Tidak cukup tidur migraine.
Tiba-tiba tiada hujung pangkal cerita pun migraine.
Migraine yang muntah sakan sampai gastrik.
Siap pakej anak buah dan rakan sepejabat kena hantar pergi klinik bagai.
Den punya cuti sakit berjujuk.
Mujur la kakitangan tetap.
Kalau tidak mahu kena ditamatkan kontrak bagai sebab asyik cuti sakit.
Ini peringatan juga yang badan semakin tua.
Makin banyak nikmat kesihatan yang semakin berkurang.
Makan-makan
Saban tahun ini adalah pencapaian paling cemerlang.
Boleh dikatakan pencapaian meletup sepanjang zaman ke macam mana😅?
Sampai tahap den tidak berani tengok tahap kolesterol den.
Susah bila hang seorang penggemar makanan tegar.
Dalam masa yang sama ada kolesterol yang boleh tahan dasyat.
Dilema sungguh.
Haish.
Membaca
Alhamdulillah den berjaya membaca 96 buah buku pada tahun ini.
Sasaran sebenarnya 100 buah buku.
Bukanlah kuantiti yang menjadi ukuran sebenarnya.
Tetapi tetap juga den teruja kalau dapat membaca banyak buku.
Den rasa ada dalam 15 buah buku yang den tidak habis baca.
Ada 26 buah buku yang den berkenan dooh.
Cumanya den tidak update IG @sariereads berbulan-bulan.
Udah masuk Disember baru terkinja-kinja hendak update 96 buah buku yang dibaca.
Mujur tidak kena ban dengan admin Instagram sebab 1 hari update sampai 5 kali😅.
Tahun ini den berjaya meminimakan pembelian buku.
Kerja
23 tahun 6 bulan di jabatan yang sama.
Ada orang kata disiplin kerja hang ni bukan susah mana.
Buat perincian sana sini sikit.
Karang itu ini.
Udah selesai.
Bukan macam jurutera nak kena tengok pelan bagai, nak kena buat kiraan bagai.
Mungkin betul la kot ye.
Cuma den percaya setiap orang mempunyai sumbangan yang tersendiri dalam kerjayanya.
In sya Allah selagi namanya bekerja makan gaji dan memegang amanah rakyat, kita usahakan yang terbaik ye.
Travelling
Alhamdulillah ada rezeki travel sekupang dua di sana sini.
Dengan keluarga kecil den.
Dengan konco-konco.
Budak-budak tengok dinosaurs, mandi sungai dan air terjun, tengok haiwan di zoo, mandi di kolam renang dan macam-macam lagi la.
Blogging and Stuff
Blog den seperti biasa ala-ala hidup segan mati tidak mahu.
Tidak mencapai hasrat den untuk menulis paling kurang dua (2) kali seminggu.
Kalau dapat update blog seminggu sekali tuh kira hebat habis dah😅.
Review dan kolaborasi macam take a back seat tahun ni sebab den malas😅.
Banyak kisah di tahun 2024 ini.
Ada yang molek dikongsikan bersama dengan harapan dapat berkongsi vibes positif.
Contohnya sesi jalan-jalan cari makan.
Banyak juga yang tidak diceritakan.
Kerana sesetengah perkara biarlah rahsia.
Eceh😅.
Rasa nak lempang je kan?
Kepada semua yang penah tersinggah ke blog den, den ucapkan terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca coretan den.
2024.
Terima kasih atas kenangan manisnya.
Terima kasih atas pengajarannya.
Selamat tinggal 2024.
Semoga 2025 membawa lebih banyak kebahagiaan walaupun ustaz banyak kali pesan kebahagiaan yang sebenarnya adalah di akhirat sekiranya kita termasuk dalam golongan orang yang beriman dan diberi rahmat untuk masuk ke dalam syurga.
Tetapi selagi hayat dikandung badan, kita usahakan untuk sentiasa menambahbaik keimanan setiap hari di samping mencari kegembiraan dan kebahagiaan cara kita ye.
In sya Allah ada umur, kita sambung coretan di tahun 2025 ye.
Jaga diri semua.
0 Comments