Balai Cerap Al-Khawarizmi - Makam Hang Tuah - Makam Hang Jebat - Wens Kitchen - Persatuan Peranakan Cina Melaka - Rumah Merah (Cendol Jam Besau - Merchandise Visit Melaka - Tourism Malaysia Kioks) - 1 Altitude

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sabtu lepas, 20 Julai 2024, den bersama dua orang konco-konco blogger den menyertai Explore Race dan Media FamTrip anjuran Tourism Malaysia Wilayah Selatan-Melaka.

7 lokasi di atas merupakan 7 check points untuk aktiviti Explore Race dan Media FamTrip.

Jom den ceritakan pengalaman Kumpulan Mak Inang menyertai pertandingan ini.

 

16 Kumpulan Peserta

Terdapat 16 kumpulan wakil daripada pelbagai media termasuk media perdana dan pempengaruh yang menyertai program ini.

Setiap kumpulan terdiri daripada 3 orang ahli. 

Semua kumpulan segak bergaya dengan busana tradisional.

Yang lelaki lengkap bertanjak, bercapal, dsb.

Yang perempuan berkain batik, tersemat bunga di kepala, dsb.

Kumpulan Mak Inang sedang bersiap

Kumpulan den namanya Kumpulan Mak Inang berbusana tradisional serba hitam.

Kain songket diselempangkan dan disemat dengan dokoh.

Ada 1 kumpulan hanya ada seorang peserta iaitu Mr Morgan yang bersemangat waja menyertai program ini dengan menaiki motorsikal dan berjaya membuat 7 cabaran dengan cabaran.

Idola sangat ni.

Memang sajak beliau mendapat Anugerah Khas Juri.

Lone ranger tetapi tetap berjaya menyiapkan semua tugasan
 7 Tugasan di Setiap Check Point

Terdapat 7 tugasan di 7 tempat berbeza.

Kami perlu sediakan 1 video berdurasi 3 - 5 minit di setiap check point.

Sedikit sebanyak peserta mengetahui maklumat sejarah secara tidak langsung apabila hendak menyiapkan tugasan yang diberikan.

Memang agak jenuh ye hendak menyiapkan video dalam tempoh yang ditetapkan dengan cakupan internet yang ala-ala biskut chipsmore.

Sekejap ada sekejap hilang begitu😂

 

3 orang satu kumpulan memang sedang elok.

Untuk kumpulan den, Ayie memandu.

Kak Mieda memberi arah tunjuk jalan.

Den mencari maklumat bagi setiap tugasan.

Sampai di setiap check point, masing-masing kalut merekod video, bercerita tentang fakta tempat tersebut, dsb.

Kemudiannya kami duduk dalam kumpulan untuk menyiapkan video.

 

Check Point 1: Balai Cerap Al-Khawarizmi, Masjid Tanah

Lokasi ini merupakan tempat pendaftaran dan taklimat program.

Tourism Malaysia Wilayah Selatan-Melaka
Kumpulan Mak Inang melapor diri
Lepas daftar kita makan dulu

Pusat pelancongan islam dan sains astronomi ini juga merupakan check point pertama.

 

Peserta diberi taklimat ringkas tentang fungsi balai cerap oleh wakil Bahagian Falak Syarie, Jabatan Mufti Melaka.

Penerangan ringkas fungsi balai cerap oleh Jabatan Mufti Melaka
Taklimat program oleh Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan-Melaka

Balai Cerap Al-Khawarizmi merupakan salah satu dari 29 lokasi balai cerap di Malaysia.

Tugasan peserta adalah menceritakan tentang Balai Cerap Al-Khawarizmi yang merangkumi planetarium, balai cerap dan galeri pameran.

Galeri pameran
Gaya berbincang macam boleh jadi juara ni hehehehe

Anjung cerapan
Nampak ke anak bulan tuh? Bila rayanya?

Bersila, tersandar semua ada bersemangat menyiapkan tugasan
Semangat sungguh Mr Morgan ni

Check Point 2: Makam Hang Tuah, Tanjong Kling

Makam Hang Tuah merupakan check point kedua.

Kami menziarah makan Hang Tuah di samping menyiapkan video tentang pengkisahan hikayat hidup Hang Tuah.

Makam Hang Tuah ini adalah sangat panjang daripada ukuran kubur biasa.

Kena imbas QR code untuk tugasan di setiap check point

Makam Hang Tuah
Sibuk mengarang 2 rangkap pantun

Membaca kisah riwayat hidup pahlawan terbilang Melaka

Sempat ye dalam masa yang singkat kumpulan Mak Inang masukkan sekali 2 rangkap pantun di dalam penulisan di dalam tugasan di sini.

Takkan Melayu Hilang Di Dunia,

Selagi Melayu berpegang kepada agama,

Itulah bicara Hang Tuah Laksamana Melaka,

Pemilik Taming Sari keris lagenda.

 

Jasa baktinya tidak terbilang.

Tersemat di hati sentiasa dikenang.

Hang Tuah pahlawan laksama gemilang.

Kekal bersejarah tidak akan pernah hilang.

 

Kumpulan Mak Inang berusaha sedaya upaya membuat semua tugasan yang ditetapkan walaupun terpleot di sana sini😅.

 

Check Point 3: Makam Hang Jebat, Jalan Kampung Kuli

Kalau disebut tentang Hang Tuah, tidak lengkap kalau tidak dibicarakan tentang pertarungan epik beliau bersama Hang Jebat yang disangkakan menderhaka kepada Sultan.

Makam Hang Jebat terletak di kawasan sekitar Jonker Street.

Ayie menghantar den dan Kak Mieda di tepi Makam Hang Jebat kerana tiada tempat letak kereta yang berdekatan.

 
Kumpulan Mak Inang in action

Makam Hang Jebat

Jadinya untuk tugasan yang satu ini, den dan Kak Mieda perlu selesaikan.

Lukisan mural yang terdapat di lorong seni

Bergaya kan ketua kumpulan Mak Inang ni

Tugasan di sini termasuklah membaca sajak Pertarungan.

Sajak Pertarungan

Mata bertentang mata

Langkah dibuka

Tari pencak mencari lawannya

 

Maaf

Bukan ini yang aku pinta

Buatmu saudara

Seperti adik beradik berhujah kata

Tika tergigit lidah sama sakitnya

Dicubit peha kiri peha kanan kan terasa

 

Langkah itu berhati-hati

Keris juga seperti terluka

Tidak mahu mengena seolah-olah terasa

Bagai ada yang tidak kena

Antara dua bersaudara

 

Langkah terakhir Jebat pun rebah

Ditikam Hang Tuah sekali sudah

Walau Hang Jebat berkali mengacah

Ingatkan saudara berpaling tadah

Tersalah sangka Jebat derhaka

Berpaling Tuah dari mukanya.

 

Dalam perjalanan mencari Makam Hang Jebat, ternampak penunjuk arah Makam Hang Kasturi di Jalan Hang Jebat, Persiaran Jonker.

In sya Allah boleh ziarah Makam Hang Kasturi di masa akan datang jika melawat Melaka.

 

Check Point 4: Wens Kitchen, Jalan Tengkera

Kami makan tengahari masakan Chettie Peranakan di Wens Kitchen.

Selama ni den tahu ada Cina Peranakan di Melaka.

Den baru tau ada Chettie Peranakan di Melaka.

Sebelum makan, kena imbas QR code tugasan dulu

Kumpulan Mak Inang makan masak lemak udang nenas, ayam sambal dan kangkong belacan.

Disebabkan kami semua kelaparan, makanya penuh berhemah makan sampai habis begitu😅.

Tajuk tidak pandang kiri kanan sebab semuanya udah kelaparan
Maklumat tentang Kampung Chetties Peranakan Melaka

Banyak pilihan menu di sini.

Boleh cuba kalau korang datang Melaka ye.

 

Check Point 5: Persatuan Peranakan Cina Melaka, Taman Kota Laksamana

Ada 3 aktiviti yang kami perlu buat di sini iaitu:

Memakai busana tradisional Portugis.

Menari tarian tradisional Portugis.

Menjahit manik.

Peserta menari tarian tradisional Portugis

Di sini Ayie dan Kak Mieda selesaikan tugasan berkaitan pakaian tradisional Portugis.

Den menjahit manik. 

Sifu mengajar mengajar jahitan manik

Sekuntum bunga yang perlu dijahit manik tetapi berpinar-pinar mata dibuatnya
Temuramah bersama mereka yang terlibat secara langsung di dalam menjahit manik pada kasut, beg, etc

Kali terakhir den menjahit manik adalah pada tahun 2006 iaitu untuk baju kahwin den.

Tugasan menjahit manik di Persatuan Peranakan Cina Melaka mengingatkan den betapa rumit menjahit manik ni.

Perlukan kesabaran dan ketelitian.

 

Check Point 6: Rumah Merah (Cendol Jam Besau - Merchandise Visit Melaka -Pusat Informasi Tourism Malaysia), Jalan Gereja Bandar Hilir

Tiga tempat yang berada di 1 baris jalan - Cendol Jam Besau, Visit Melaka Merchandise Kiosk dan Pusat Informasi Tourism Malaysia.

Tidak sampai 5 minit jarak setiap satu tempat ni.

Check point 6: Sekitar Rumah Merah

Kalau ada anugerah untuk sakan bergambar, boleh menang kumpulan kami rasanya hehehe

Cendol Jam Besau

Kena cuba makan cendol durian king ye. Kumpulan Mak Inang makan cendol durian pulut, durian kacang dan cendol aiskrim.

Kiosk cendol ni selalunya memang kena beratur ye sebab ramai peminatnya.

Bersama bos Cendol Jam Besau

Visit Melaka Merchandise Kiosk

Ada macam-macam cenderahati tshirt, mug, tumbler, beg canvas, tuala, dsb untuk dibawa balik untuk kenangan.

Pilih mana yang berkenan
Kumpulan Mak Inang shopping

Pusat Informasi Tourism Malaysia.

Kalau pertama kali ke Melaka atau perlukan maklumat tempat-tempat menarik di Melaka, boleh singgah sini.

Check Point 7: 1 Altitude, Taman Melaka Raya

Ini merupakan check point terakhir dalam Explore Race kali ini.

Masa ni Kumpulan Mak Inang dah macam belacan semuanya sebab seharian bergelinjang sana sini😅.

Kami bergambar di Puncak Tertinggi The Top sebelum menjamu selera di Wildseed Bistro, cafe halal di puncak tertinggi di Melaka. 

Cantik kan pemandangan dari puncak 1 Altitude

Berminyak-minyak muka semuanya hehehehe

Agenda program penutup dibuat di sini dengan ucapan oleh Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan-Melaka.

Ucapan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan-Melaka

Setiap kumpulan diberi sijil penyertaan.

Pemenang tempat pertama hingga ketiga diumumkan.

Cabutan bertuah diberikan kepada semua yang bertuah.

Ketua Kumpulan Mak Inang dapat cabutan bertuah
Anugerah Khas Juri kepada Mr Morgan
Kumpulan Mak Inang
Pemenang ketiga: Kumpulan Tun Pendika
Pemenang pertama: Kumpulan Hang Kalut
Pemenang kedua: Kumpulan SBR Stars

In A Nutshell

Walaupun Kumpulan Mak Inang tidak menang dalam Explore Race ini tetapi kami tetap gembira diberi peluang menyertai program ini.

Alhamdulillah den dan Kak Mieda mendapat rezeki cabutan bertuah.

 

Kali terakhir den datang Melaka adalah pada 2019.

Untuk den yang sudah lama tidak menjejakkan kaki Melaka, den gembira dapat datang semula ke Melaka untuk sekian kalinya.

Kesemua 7 check points adalah tempat yang den tidak pernah pergi sebelum ini.

Jadinya rezeki dapat pergi kesemua tempat ini.

In sya Allah nanti den nak bawa anak-anak den ke Balai Cerap Al-Khawarizmi, Masjid Tanah.

 

Den tidak ingat bila kali terakhir den mendeklamasi sajak.

Rasanya zaman sekolah kot.

Tiba-tiba untuk tugasan di Makam Hang Jebat, den kena mendeklamasikan sajak😅.

Den juga mengarang dua rangkap pantun untuk tugasan di Makam Hang Tuah dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

Untuk orang yang blur-blur ayam, ini adalah suatu perkara yang menggembirakan.

 

Ahli kumpulan den adalah kawan-kawan bloggers yang boleh berlebih berkurang.

Jadinya ala-ala mini reunion pun ada begitu😅.

In sya Allah banyak kenangan manis walaupun sakan bertekak dalam pada hendak menyiapkan tugasan😅.

Tourism Malaysia Wilayah Selatan-Melaka

Terima kasih kepada Tourism Malaysia Wilayah Selatan-Melaka kerana sudi memberikan peluang kepada kami menyertai Explore Race dan Media FamTrip pada kali ini.

Mohon jemput lagi kami di masa akan datang ye😅.

Kredit gambar semuanya kepada Tourism Malaysia Wilayah Selatan-Melaka ye.

 

 


2 Comments

  1. Nampak mcm tak mudah tapi menyeronokkan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ha itu la. Lagi2 awak udah tua. Terkebil2 hendak memahamkan klu bagai😅

      Delete