Pengalaman Menaiki Bas Smart Selangor
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Antara perkara yang den bersyukur pada tahun 2024 ini adalah kewujudan Bas Smart Selangor.
Walaupun Bas Smart Selangor telah mula beroperasi pada tahun 2015, tahun ini baru den sakan menggunakannya untuk pergi dan balik kerja.
Untuk den yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor bermula 9 Januari 2024 sehingga hari ini, den rasa berpuas hati.
Sudah tentu kalau kita tengok media sosial Bas Smart Selangor, ada juga aduan dan cadangan penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan.
Laluan Bas S03 dan Bas S01
Den menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor untuk pergi dan balik kerja.
Den naik bas S03 ke stesen bas di Stesen Komuter Shah Alam di Seksyen 19.
Dari situ den naik bas S01 ke pejabat di Seksyen 14.
Den juga naik bas Bas Smart Selangor bila hendak naik komuter di Seksyen 19.
Ini den cerita pengalaman den naik Bas Smart Selangor untuk 2 laluan ini sahaja.
Aduan Tentang Bas Smart Selangor
Kebanyakan aduan tentang
Bas Smart Selangor adalah tentang bas tidak dapat mematuhi kekerapan 15 minit dan bas tidak mengikut laluan yang dipaparkan di jalur laluan perkhidmatan bas tersebut (ayat gomen habis😅).
Den rasa la kan dengan keadaan kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak di Shah Alam ni, memang agak sukar bas hendak patuh kekerapan 15 minit tuh.
Untuk laluan S03 biasanya dalam 30 - 45 minit ada sebuah bas akan lalu.
Untuk laluan S01 kekerapannya lebih tinggi sebab ada banyak bas untuk laluan itu.
Pemandangan biasa kesesakan trafik di SRAI Seksyen 19 |
Dia punya tahap sesak kalau waktu pagi di depan SRAI Seksyen 19 tuh, pemandu bas boleh singgah beli nasi lemak RM1 tepi jalan😅.
Bila dia siap beli nasi lemak pun (transaksi tidak sampai 2, 3 minit pun), bas masih tidak dapat bergerak sebab kenderaan di hadapan tidak bergerak😅.
Setakat 7 bulan den naik Bas Smart Selangor ni, hanya 3 kali ye pemandu singgah beli nasi lemak ni.
Jangan la kome pergi buat aduan pula dekat Bas Smart Selangor nanti😅.
Kalau balik kerja naik bas pukul 6 petang ke atas, kome akan faham kesukaran bas untuk manoeuvre di Seksyen 20 kerana ramai orang telah balik kerja dan meletakkan kereta di kiri dan kanan bahu jalan raya.
Jalan dari dua hala menjadi satu lorong kerana perletakan kereta oleh penduduk.
Hendak buat macam mana kan?
Sebuah rumah asal mempunyai satu sahaja ruang meletak kereta.
Sekiranya telah diubahsuai garajnya, boleh memuatkan dua buah kereta.
Kebanyakan keluarga sekarang, seorang anak mempunyai sebuah kereta.
Kalau ada 2 orang anak yang bekerja, udah ada 4 buah kereta untuk sebuah rumah.
Jadinya memang mereka akan meletakkan kereta di kiri dan kanan bahu jalan raya.
Untuk laluan Bas Smart Selangor, S03 memang tidak dapat mencapai KPI setiap 15 minit atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas.
Bagi isu bas tidak mengikut laluan yang dipaparkan di jalur laluan perkhidmatan bas tersebut, den pernah alami perkara ini tidak sampai 3 kali rasanya.
Antara sebabnya adalah jalan terlalu sesak dengan kereta diletakkan di pinggir kiri dan kanan bahu jalan kerana ada pasar malam.
Ada juga disebabkan oleh hujan terlalu lebat dan bas sudah terlambat dari jadual asal.
Cuma itu la ada beberapa tempat menunggu Bas Smart Selangorku comel sangat.
Mungkin ruang terhad untuk dibina tempat menunggu bas yang ada tempat duduk dan bumbung.
Kalau kome tunggu bas di kala matahari tegak dekat kepala memang ketibas la ye😅
Kalau hujan pula dan kome lupa bawa payung, kira basah sambil nyanyi lagu Memori Daun Pisang aje la ye😅
Comel naw kan |
Penambahbaikan Jaringan Perkhidmatan Bas Awam
Dia bila naik pengangkutan awam ni memang perlu kesabaran yang tinggi.
Faham tuh penantian adalah suatu penyiksaan😅.
Sekali sekala kena sidai itu normal tetapi bak kata PRamlee jarang-jarang berlaku😅.
Apabila dibandingkan dengan pengangkutan awam di negara maju memang Malaysia agak terpleot tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan.
Den ada rezeki menaiki perkhidmatan bas di Seoul (Korea), Kobe (Jepun) dan Singapura.
Memang tip top meletup perkhidmatan bas mereka lagi-lagi Singapura.
Aplikasi arah laluan bas mesra pelanggan dan awesome teruk.
Ketepatan masa dan kekerapan perkhidmatan bas memang molek banget.
Tetapi kita kena tengok juga kemudahan yang disediakan untuk perkhidmatan bas awam ini.
Biasanya di negara-negara maju, disediakan laluan khas untuk bas sahaja.
Di Jakarta yang macet itu pun diusahakan untuk disediakan laluan khas bas di kawasan-kawasan tertentu.
Manifesto memperkasakan pengangkutan awam di Jakarta direalisasikan oleh Anies Baswedan apabila dia dilantik menjadi gabenor Jakarta.
Jadinya bukan janji dicapati ye ehhhh😅.
Faham dan jelas sangat tentang keperluan untuk menaiktaraf sistem perkhidmatan bas di Malaysia khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.
Buat sementara waktu sehingga Kerajaan benar-benar mengambil tindakan serius tentang keperluan memperkasakan perkhidmatan awam (bas, MRT, LRT, komuter, dsb)(ayat gomen habis sudah keluar😅) yang meletup kekabom, den pasrah aje la dengan perkhidmatan yang sedia ada ini.
Pemandu Bas Smart
Selangor
Pemandu Bas Smart Selangor yang den jumpa setakat ini semuanya berhemah.
Sudi menjawab soalan berkaitan laluan Bas Smart Selangor dan sebagainya.
Mereka merupakan pemandu-pemandu hebat yang dapat manoeuvre bas di celah-celah kereta yang diletakkan di kiri kanan jalan dengan begitu cemerlang.
Den yang tertahan nafas secara tidak sengaja bila kejadian ini berlaku😅.
Setakat den naik Bas
Smart Selangor ni, tiada lagi insiden bas tergesel kereta dan sebagainya.
Memang awesome deme ni.
Ramai ke Orang Naik Bas Smart Selangor
Ada juga yang tanya den ramai ke orang naik Bas Smart Selangor ni?
Ramai ye.
Ada pelajar.
Ada warga emas.
Ada OKU (tahniah pemandu Bas Smart Selangor yang berhemah membantu OKU berkerusi roda naik dan turun bas).
Ada pekerja kolar putih.
Ada pekerja kilang, insititusi, hospital, dsb.
Pekerja asing.
Kalau waktu puncak bas kebiasaannya hampir penuh. Gambar den dalam bas semuanya gambar buku😅 |
8 Sebab Kenapa Den Naik Bas Smart Selangor
Ada orang tanya den kenapa den naik Bas Smart Selangor.
Macam tidak sesuai den naik bas begitu katanya😅.
Kalau tengok negara maju yang pengangkutan awamnya tip top boss besar pun menggunakan pengangkutan awam siap bertali leher, pakai blazer bagai.
Keanu Reeves pun naik subway.
Ada ke idok kan movie John Wick 5 nanti.
Tetiba😅.
1. Untuk orang penakut memandu macam den ni, pengangkutan awam adalah pilihan terbaik untuk den.
2. Tidak perlu pening terkelembap memandu kereta lalu mengundang rasukan abalasa orang lain di jalan raya.
3. Tidak perlu risau di mana hendak meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang terhad di kawasan pejabat.
4. Terbersenam secara tidak sengaja sebab perlu menapak untuk ke perhentian bas, ke pejabat, dsb.
5. Kebetulan pula ada Bas Smart Selangor yang beroperasi di laluan dekat rumah dan pejabat den.
6. Den suka pada aspek ketenangan minda yang diberikan oleh Bas Smart Selangor kepada den😅.
7. Bas Smart Selangor ini percuma ye.
8. Kalau hendak asbab kenapa naik Bas Smart Selangor yang ala-ala selaras dengan prinsip Sustainable Development Goals, bila den naik Bas Smart Selangor, secara tidak langsung den menyumbang kepada pengurangan penggunaan petrol, menyokong usaha MBSA bagi pengangkutan lestari di dalam usaha menjayakan pelan tindakan Low Carbon City 2030, dsb.
Poyo nak mati ayat terpaling alam sekitar ni ye😅.
Alhamdulillah rezeki den berjodoh dengan Bas Smart Selangor.
Untuk den keadaan yang paling mencabar adalah apabila hujan lebat, kilat sabung menyabung dan guruh berdentum dentam.
Ini memang keadaan mengerikan untuk menaiki Bas Smart Selangor sebab ada jalan di perhentian bas yang dinaiki air, memang den akan basah kuyup bagai.
Tetapi perkara ini
berlaku tidak sampai 5 kali dalam tempoh 7 bulan den naik Bas Smart Selangor ni.
Bas Smart Selangor juga menyumbang kepada peningkatan buku yang den baca.
Semasa den menunggu bas dan di dalam perjalanan, den berpeluang untuk membaca buku sambil mendengar lagu menggunakan headphone.
Kita mungkin terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas yang sama tetapi den dapat tengok pemandangan luar tingkap (pagi-pagi boleh nampak matahari baru mula memancarkan sinar eceh😅), membaca buku dan mendengar lagu.
Pemandangan pagi dari tingkap bas 2 hari lepas |
Jadinya “maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan” sebagaimana pertanyaan 31 kali Surah Ar Rahman.
Benar bila naik pengangkutan awam ini kena bangun awal, keluar awal dari rumah, kita tidak bisa mengawal masa perjalanan, dsb.
Cumanya setakat ini perkhidmatan awam sesuai dengan hidup den.Untuk orang introvert macam den, duduk senyap-senyap dalam pengangkutan awam sambil membaca buku dan mendengar lagu adalah antara perkara yang membahagiakan den.
Ini perkara yang sama den buat di dalam komuter, LRT dan ETS.
Jadinya den memang berkenan pada Bas Smart Selangor ni.
Tahniah Kerajaan Negeri Selangor kerana memperkenalkan Bas Smart Selangor.
Mohon dikekalkan
perkhidmatan kepada rakyat dengan penambahbaikan yang bersesuaian yang diperlukan.
0 Comments