Resensi Buku Abu Bakar As-Siddiq Liku-Liku Hayat & Pemerintahan Khalifah Pertama oleh Muhammad Hussein Haikal
Ramai orang memperkatakan tentang kegemilangan pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab tetapi perkara tersebut dapat dicapai kerana jalan permulaan kepada kecemerlangan itu telah dirintis oleh Saidina Abu Bakar.
Tajuk: Abu Bakar As-Siddiq Liku-Liku Hayat & Pemerintahan Khalifah Pertama
Pengarang: Muhammad Hussein Haikal
Mukasurat: 414
Sumber: PPAS Bangi
Dia kan bila baca buku macam ni memang akan berderai air mata sebab akan terselit kisah perjuangan Rasulullah SAW + cabaran yang bukan calang-calang Saidina Abu Bakar hadapi sebagai Khalifah pertama meneruskan perjuangan menegakkan dan menyebarkan Islam selepas kewafatan Rasulullah.
Masalahnya air mata suka tertumpah masa den baca buku ni dalam Bas Selangorku pergi dan balik kerja😅.
Dalam Bas Selangorku mengharungi kesesakan trafik
Masa Rasulullah tetap bertegas mahukan Saidina Abu Bakar menjadi imam solat waktu beliau gering.
Nih den gheyiau😭
Saidina Abu Bakar berjalan kaki ke al-Jurf untuk menemui tentera yang dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan sempadan Semenanjung Arab daripada serangan Rom bagi mengukuhkan keputusan pelantikan Usamah bin Zaid sebagai ketua panglima perang.
Nih den gheyiau juga😭
Banyak naw perenggan yang buat den gheyiau sampai jenuh nak menghabiskan baca buku ni.
Antara 8 keputusan besar Saidina Abu Bakar sepanjang 2 tahun 3 bulan pemerintahannya:
1. Beliau menerima pelantikan sebagai Khalifah dengan hati yang berat. Asalnya Saidina Abu Bakar mencadangkan supaya Saidina Umar atau Abu Ubaidah yang dilantik sebagai khalifah selepas Nabi Muhammad SAW wafat.
2. Pengurusan tatakelola urustadbir berkesan berpusat di Madinah. Tiada panglimanya yang berpaling tadah.
Pemilihan Ketua Tertinggi Panglima Perang, susunan angkatan tentera, kawasan untuk diserang, arahan berperang diputuskan oleh Saidina Abu Bakar selepas mengambilkira pandangan penasihat-penasihat seperti Saidina Umar, Uthman, Ali, Abdul Rahman bin Auf, etc.
Melantik mereka yang berkelayakan di dalam pentadbirannya seperti Saidina Umar menguruskan perundangan di Madinah, Abu Ubaidah al-Jarrah menguruskan perbendaharaan, Saidina Uthman sebagai setiausaha negara, Itab bin Usaid sebagai pentadbir urusan haji di Mekah, etc.
3. Memerangai kaum yang murtad (umat Islam yang tidak mahu membayar zakat). Sejurus selepas Rasulullah saw wafat, wujud nabi-nabi palsu seperti Tulaihah, Musailamah dan Sajah (nabi wanita). Dasyat ye hendak memerangi golongan yang murtad. Begitu ramai pahlawan Islam yang gugur dalam perjuangan untuk menegakkan syiar Islam.
4. Mempertahankan keputusannya apabila dikritik daripada para sahabat yang rapat - mengekalkan keputusan Rasulullah saw melantik Usamah bin Zaid sebagai ketua panglima perang walaupun beliau baru berusia 20 tahun sedangkan ramai lagi panglima perang yang berpengalaman dan lebih berusia.
5. Memberi sokongan kepada Khalid al-Walid apabila beliau membunuh Malik bin Nuwairah dan mengahwini balunya yang masih dalam iddah sedangkan Saidina Umar mahu menghukum Khalid dan memecatnya dari jawatan ketua panglima perang.
Saidina Umar - berpendapat Khalid telah melakukan kesalahan yang tidak melayakkannya menjadi seorang pemimpin, merosakkan nama di kalangan orang Arab, tindakan yang boleh menghancurkan orang Muslim, tidak boleh diberi keistimewaan walaupun digelar Pedang Allah, perlu dihukum atas kesalahannya.
Saidina Abu Bakar - terdapat ancaman pemberontakan orang murtad yang memerlukan kepimpinan Khalid untuk mengatasinya. Saidina Abu Bakar memberikan amaran keras pada Khalid.
Saidina Abu Bakar melihat kepada kemaslahatan yang lebih besar pada ketika itu.
Khalid Al-Walid akhirnya mengetuai bala tentera dan memenangi Perang Yamamah.
Khalid memimpin angkatan tentera membuka Iraq dan Syam yang menjadi asas empayar Islam yang pertama pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar.
6. Membuka jalan ke Iraq dan Syam kepada kuasa Islam.
7. Isytihar perang terhadap 2 kuasa besar pada ketika itu - Rom dan Parsi yang sedang lemah akibat perebutan kuasa dan perang lebih 700 tahun.
8. Usaha pengumpulan al-Quran dimulakan oleh Saidina Abu Bakar atas saranan Saidina Umar selepas 39 orang penghafaz Al-Quran syahid dalam Perang Yamamah menentang mereka yang murtad yang dipimpin oleh nabi palsu, Musailamah. Cadangan pengumpulan Al-Quran ini dibincangkan juga bersama penasihat yang lain.
Zaid bin Tsabit dipertanggungjawabkan untuk perkara ini.
Selepas Saidina Abu Bakar meninggal dunia, usaha ini diteruskan oleh Saidina Umar.
Susunan surah dalam Al-Quran yang kita baca sekarang disusun pada zaman Saidina Uthman bin Affan hence the name resam Uthmani.
Memang banyak perkara den tidak tahu den baca dari buku ini:
1. Perang-perang selain perang yang berlaku di zaman Rasulullah saw. Perang Yamamah, Perang Riddah, etc.
2. Kehebatan panglima perang terbilang selain daripada Khalid al-Walid.
Panglima 'Amru bin Ma'di Karab daripada Bani Zaid.
Empunya Pedang Samamah yang masyhur.
Beliau menyertai perang Qadisiyah pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab pada usia lebih 100 tahun.
Panglima Mutsannā bin Hāritsah - kemenangannya dalam beberapa siri pertempuran membuatkan Saidina Abu Bakar merangka strategi untuk menyerang Parsi
Panglima Zū al-Kilã - merintis jalan perkembangan Islam ke Syam.
Diterangkan tentang corak pemerintahan Saidina Abu Bakar dengan terperinci dalam buku ini sampai den pening kepala membacanya sebab sangat ilmiah dan terlalu banyak fakta😅
Saidina Abu Bakar melantik Saidina Umar Al-Khattab bagi menggantikannya sebagai khalifah.
Saidina Abu Bakar meninggal dunia ketika tentera Islam di bawah pimpinan Khalid al-Walid sedang berperang dengan tentera Rom yang membawa kepada kemenangan di Damsyik.
Saidina Abu Bakar meninggal dunia pada usia 63 tahun dan dikebumikan di sebelah makam Rasulullah SAW.
Den akhiri resensi buku ini dengan surat dari Saidina Abu Bakar kepada 'Amru bin al-As untuk mengajak beliau untuk menyertai pasukan Islam berperang.
Saidina Abu Bakar: Sesungguhnya aku ini membuka jalan kepada Abu Abdullah agar engkau meraih kebaikan dalam hidup dan selepas matimu. Kecuali jika engkau dapati yang keadaanmu sekarang adalah lebih engkau sukai.
Amru bin al-As: Aku adalah salah satu daripada anak panah Islam manakala engkau pula adalah orang yang menarik busurnya. Maka pilihlah arah yang paling ditakuti, paling mencabar dan terbaik untuk engkau lepaskan aku ke situ.
Bagi den, surat ini seumpama menterjemahkan karakter Saidina Abu Bakar iaitu seorang Khalifah yang lemah lembut, prihatin, adil saksama, etc.
Alhamdulillah akhirnya habis juga baca buku ni.
Rasa macam sebulan den nak menghabiskan buku ni padahal 10 hari je rupanya den baca buku ni.
90% pembacaan semasa tunggu Bas Selangorku + dalam perjalanan pergi balik kerja dengan Bas Selangorku.
Antara buku terbaik yang den baca pada tahun ini.
Tahniah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) kerana membuat penterjemahan menggunakan laras bahasa yang boleh difahami oleh rakyat marhaein macam den ni.
Tidak pasti samada penulis ini ada menulis tentang 3 orang Khalifah yang seterusnya.
Jika ada mohon IBDE menterjemahkannya juga.
0 Comments