MEMPERKASA HASIL KRAF TEMPATAN: GERAN RM 60,000 DIBERIKAN KEPADA 6 ARTIS OLEH TOURISM SELANGOR
Tourism Selangor Memberikan geran kepada Artis Tempatan bagi Memperkukuh Negeri Selangor sebagai Hab Industri Kreatif
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Tahniah kepada Tourism Selangor, Agensi Pelancongan rasmi Negeri Selangor kerana sekali lagi telah membuktikan komitmen untuk memupuk bakat tempatan dengan menganugerahkan geran kepada artis dan bakat tempatan.
Selaras dengan misi untuk menjadikan Selangor sebagai hab industri kreatif, 6 artis telah dianugerahkan geran sebanyak RM 10,000.00 setiap seorang dalam sebuah pertandingan bertemakan ‘Reka Lestari’, yang sejajar dengan konsep “Circular Economy” oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Artis dan projek yang telah memenangi geran bagi tahun ini adalah:
● Wayang Robot oleh Ahnaf Hakimi
● Scaling Up Scraps oleh Syiborisyd dan Aruznadi
● Pagar 2π oleh Parti Design Awangan
● Deru Arus oleh Jamil Zakaria
● Dung Beetle—A Participatory ‘Dirt’ Exploration oleh Cheng Yen Peng
● The Light of All Things oleh Khabir Roslan
Projek-projek inovatif ini akan dipamerkan pada Festival Tukang yang akan datang, dikendalikan oleh Intan Rafiza Abu Bakar dari Balai Seni Lukis Negara.
Festival ini sedang berlangsung di The Spine, PJKita di Petaling Jaya dari 5 hingga 9 Jun 2024.
Acara ini menandakan edisi kedua Festival Tukang dan telah menarik lebih 8,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Festival Tukang kali ini telah melibatkan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik, termasuk pameran inovatif, bengkel seni, perkongsian reka bentuk, bazar seni dan pop-up art serta persembahan muzik.
Festival ini bertujuan untuk bukan sahaja untuk mempamerkan bakat luar biasa artis tempatan tetapi juga memberikan perkongsian yang mendalam tentang dunia seni dan kraf.
Yang Berhormat Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Pelancongan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor dalam satu kenyataan berkata, seni dan budaya memainkan peranan yang penting dalam memacu industri pelancongan negara.
Keunikan hasil seni tempatan bukan sahaja mencerminkan keunikan budaya Negeri Selangor malah mampu menjana ekonomi untuk kerajaan, terutamanya di Negeri Selangor dengan menarik para pelancong untuk melihat sendiri keunikan hasil seni dan kraf Negeri Selangor.
“Kami di peringkat negeri menyokong penuh inisiatif Pertubuhan Badan- Badan Bersatu dalam memperkenal konsep Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang bukan sahaja mampu menyumbang kepada persekitaran yang lebih lestari malahan juga, memangkin penggunaan semula sumber sedia ada”, tambahnya lagi.
Tourism Selangor telah lama berada di barisan hadapan dalam mempromosikan tarikan pelancong yang kaya di negeri Selangor.
Usaha agensi ini untuk membangunkan Selangor sebagai Hab Industri Kreatif adalah sejajar dengan kempen pelancongan domestik, “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!”.
Konsep inovatif yang dipersembahkan oleh artis tempatan berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancongan merangkumi fesyen, perabot, kraf kayu dan asimilasi elektronik.
TUKANG - Festival Reka Bentuk dan Kraf 2024 anjuran Tourism Selangor dengan kerjasama Rantai Art, telah menampilkan persembahan kumpulan muzik indie tempatan termasuk Daliliyana, Kingsley Chen, Lorita Nyepit, Ocean Astronaut dan Amir Alif.
Selain itu, festival ini juga akan melibatkan pelbagai vendor yang menawarkan makanan, kopi, makanan ringan, pastri, hasil seni dan kraf.
Orang ramai dijemput hadir ke TUKANG-Festival Reka Bentuk dan Kraf 2024 untuk berinteraksi dengan pereka bentuk dan bakat tempatan melalui sesi bengkel, ceramah dan bazar seni, semestinya menjanjikan pengalaman yang bermakna untuk semua pengunjung.
Jadinya mari kita pergi ke Festival Tukang ni ye.
Untuk butiran lanjut dan kemas kini berkaitan Festival TUKANG, sila lawati platform digital Tourism Selangor di Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok serta Selangor.Travel.
0 Comments