Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Moh kita sambung cerita hari kedua den Singapura.

In sya Allah post kali ini den akan kongsikan banyak gambar.

Penulisan mungkin hanya sekupang dua.

 

Semasa den masukkan 3 tempat perlu dilawat di MacRitchie iaitu MacRitchie Reservoir Park + MacRitchie Nature Trails + MacRitchie Tree Top Walk, den hendak bermula dan berakhir di titik yang berbeza.

Maknanya den tidak mahu patah balik begitu.

Jadinya den tetapkan untuk masuk ke MacRitchie Reservoir Park melalui laluan dari Stesen MRT Caldecott.

Kemudiannya berakhir di Venus Car Drive Park sebelum den ke Stesen MRT Thompson.

Maknanya tidak perlu berpatah balik bagai menggunakan laluan yang sama.


Den naik MRTdari Stesen Al-Junied terus je ke Stesen MRT Caldecott.

Keluar je dari Stesen MRT Caldecott, den udah blur-blur ayam😅.

Setelah sesat sekupang dua dan bertanya arah jalan daripada 2 orang pejalan kaki yang den bertembung, akhirnya den sampai di MacRitchie Reservoir Park.

Berdasarkan nota yang sempat den catatkan, jalannya macam ni ye kalau hendak pergi ke MacRitchie Reservoir Park dari Stesen MRT Caldecott.

Sampai Stesen MRT Caldecott - Exit 1 - belok kiri sampai hujung - belok kiri ke arah Jalan Thompson - lintas jalan - jalan ke arah kanan - lintas jalan - terus je dalam 300 meter sampai jumpa simpang empat jalan besar - lintas jalan - belok kiri - sampai udah kome ke MacRitchie Reservoir Park😅.

Hahahahhahaa tak tau la kome boleh jumpa tak MacRitchie Reservoir Park mengikut tunjuk arah den nih ha😅.

 

Apa yang istimewanya MacRitchie Reservoir Park?

Ianya merupakan kawasan tadahan air termasuk empangan yang membekalkan air kepada Singapura.

Ianya terbuka kepada orang awam untuk beriadah dan rekreasi.

MacRitchie Reservoir Park Sepintas Lalu

Sedikit maklumat tentang MacRitchie Reservoir Park dari sumber Wikipedia.

MacRitchie Reservoir adalah empangan tertua di Singapura.

Ia siap dibina pada 1868.

Nama asalnya adalah Empangan Thomson.

Ianya ditukar nama kepada Empangan MacRitchie pada 1922 sebagai penghargaan kepada James MacRitchie yang bertanggungjawab menaiktaraf empangan ini.

MacRitchie Reservoir Park sebahagian daripada Central Catchment Nature Reserves.

Ianya memang molek banget untuk rekreasi.

Den sampai awal pagi dalam 830 pagi.

Den bertembung dengan orang berjalan kaki, berlari, bersenam dan bersantai.

Kalau hendak diikutkan banyak ruang untuk dijelajah di sini.

Asal bergambar konsepnya biarpun gelap gelita

Pelbagai Denai di MacRitchie Reservoir Park

Ada banyak denai di sini macam MacRitchie Nature Trail, Prunus-Petai Trail, Lornie Trail, etc.

Kalau siapa ada banyak masa boleh menjelajah 11 km MacRitchie Loop.

Tetapi disebabkan den ada banyak tempat hendak pergi, makanya den berjalan sekupang dua sahaja di sini.

Dalam sekejap tuh ada juga 2 ke 2.5 jam den melepak di sini rasanya.

Ada dalam 3 - 4 kilometer den berjalan ke hulu ke hilir di sini.

 

Lama den berehat di kawasan yang ada seorang warga emas lelaki Cina main alat muzik macam seruling tapi bukan seruling.

Nyaman je melunjur kaki sambil melayan angin ditemani bunyi alunan muzik tuh.

Vibes fasa selepas pencen yang mendamaikan begitu.

Macam hendak menyembang dengan pakcik tu tapi itulah macam mulut den terkelu pula masa tuh.

Hendak minta izin ambil gambar dia pun tidak terkeluar suara.

Makanya den hanya terkelepet di bangku sambil menghayati suasana begitu.

 

Den kongsikan video den melepak di kawasan ini.

Latarbelakang muzik tuh adalah alunan muzik yang dimainkan oleh pakcik tuh.

Memang syahdu bunyinya.

Submerged Boardwalk

Den berkenan dooh dekat laluan/titian kayu (submerged boardwalk) yang ada di sini.

Rasanya ada 4,5 kali den berulang balik di laluan 40 meter ni.

Dipadankan dengan sumber air dan kawasan menghijau pula.

Macam estetik gila.

Jambatan ZigZag

Lama juga den melepak di jambatan ni.

Sekejap den bersantai duduk tengok pemandangan empangan.

Sekejap den cuba cari angle cantik untuk bergambar.

Ianya bersambung dengan submerged boardwalk.

Ini kalau siapa yang into the character, boleh berlari-lari menyanyi lagu Hindustan di sini😅.

 

Memang tidak banyak gambar den di MacRitchie Reservoir Park.

Den cuma ada sebiji handphone yang weng macam tuan dia juga😅.

Sekejap dia okay.

Sekejap dia panas lalu termati sendiri.

Sekejap dia ambil gambar gelap gelita.

Jadinya den pasrah aje la.

Dapat merakamkan gambar kenangan sekupang dua pun udah okay.

Ada kawasan khas untuk memancing di sini.

Boleh juga buat aktiviti naik kayak dan sampan.

Sepanjang berjalan-jalan di sini den ditemani dengan kicauan burung.

Semasa menulis post ini, dia macam masih terngiang-ngiang kemerduan bunyi seruling ke apa tu sambil muka nyaman disapa angin pagi.

Masih ternampak-nampak den berjalan atas titian kayu berulang kali.

Itulah travel untuk den yang amateur ini.

Travel might be a fool’s paradise but the fleeting moments of clarity that’s what makes it fun.

 

Kenapa den pilih untuk pergi ke MacRitchie Reservoir Park?

Bagi orang yang kerjanya sedikit sebanyak terkait dengan empangan, saja den hendak tengok empangan di tempat orang.

Lagipun kebiasaannya lokasi empangan dalam kawasan alam semulajadi.

Sekali sekala kembali ke alam molek juga rasanya.

 

Di Malaysia kebanyakan empangan diletakkan di bawah Kawasan Sasaran Penting Kelas I dan II oleh Majlis Keselamatan Negara.

Jadinya kawasan empangan merupakan kawasan larangan kepada orang awam.

Setakat yang den tahu, hanya ada beberapa kawasan empangan dibuka kepada orang awam beriadah iaitu Empangan Batu di Selangor, Empangan Mengkuang dan Air Hitam (Pulau Pinang) dan Empangan Timah Tasoh (Perlis).

Jadinya bila berpeluang pergi ke kawasan empangan yang terbuka untuk orang awam, den terasa hendak tengok begitu.

 

Eh tadi di awal post katanya penulisan sikit aje ye tapi panjang berjela juga den membebel ye😅.

Dasar janji dicapati sungguh.

In sya Allah den sambung cerita penyesalan yang tidak terkata terpaksa menapak sejauh 4.5 km di MacRitchie Nature Trails dalam post akan datang ye😅.

Till then take care.

 

 

0 Comments