Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar semua?

Lama den hendak menyiapkan blogpost yang satu ini.

Banyak sangat cerita hendak dicoretkan.

 

Kerajaan Negeri Perak melalui Tourism Perak telah melancarkan Tahun Melawat Perak 2024 dengan memfokuskan kepada 6 tema iaitu Warisan, Makanan, Alam Semula Jadi, Hiburan, Keluarga dan Kraftangan dengan hashtag #PromisingPerak

 

Perak ni sejak dulu zaman den kecil udah macam rumah kedua den.

Circa tahun 1984 - 1987, den akan ke Taiping rumah Mak Ngah (kakak arwah emak) setiap kali cuti sekolah.

Disebabkan ada Mak Ngah ada 6 orang anak perempuan, makanya memang seronok duduk rumah Mak Ngah semasa cuti sekolah.

Sekarang pun Perak ala-ala rumah kedua.

Jadinya apa yang menarik di Negeri Perak yang berkeluasan 21,000 km2 ini?

 

12 daerah di Perak ada banyak perkara dan tempat awesome.

Kinta, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Hilir Perak, Kerian, Batang Padang, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Hulu Perak, Kampar, Muallim (Tanjung Malim) dan Bagan Datuk.

 

Jom kita tengok 17 sebab kome kena melawat Perak pada tahun 2024 ni:

120 Aktiviti Sepanjang 2024

Aneka Pilihan Makanan

Pelbagai Pilihan Hotel Bajet Pada Harga Mampu Milik

Banyak Kawasan Hijau dan Alam Semulajadi

Pulau, Pantai, Sungai dan Air Terjun

Sejarah dan Heritage Trails

Tapak Warisan Negara

Seni

Kraftangan

Lokasi Strategik

Pilihan Akses Dengan Kenderaan atau Keretapi

Banyak Tempat Menarik Percuma

Aktiviti Lasak dan Aktiviti Luar

Café atau Kedai Kopi di Sana Sini

Tempat OOTD Merata Sakan di Sana Sini

Tempat yang Kanak-Kanak Pasti Suka

Tempat Menarik Waktu Malam

 

1. 120 Aktiviti Sepanjang 2024

Macam-macam aktiviti dalam pelbagai kategori yang ditawarkan oleh Perak kepada semua.

Den kongsikan sedikit tentang jadual program Februari, Mac, November dan Disember 2024.

Boleh tengok senarai jadual penuh aktiviti sepanjang 2024 di:

https://www.tourismperakmalaysia.com/calendar-of-events-2024/

Pilih sahaja yang mana satu berkenan di hati ye.

 

2. Aneka Pilihan Makanan

Kalau sembang tentang orang Malaysia ini tidak sah kalau tidak bicara tentang makanan kerana Malaysia sememangnya adalah syurga makanan.

Perak sememangnya menawarkan aneka makanan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Laksa Perak boleh dikatakan jatuh kategori wajib kena cuba kalau datang Perak.

Ada pelbagai jenis laksa kita boleh jumpa di Perak ni.

Laksa Pulas, Laksa Tepung, Laksa Sarang, etc semua ada.

Den pernah makan laksa Perak di Bota, laksa Perak di tepi Sungai Perak berhadapan dengan Medan Kraftangan Lembah Kuala Kangsar, Laksa Pulas Laksa Tepung, Laksa Sarang di Ipoh, etc.

Laksa Saranghae Silibin, Ipoh
Laksa Yes Sir, Bota
Laksa Tepung Beras Sayong, Kuala Kangsar
Laksa tepi Medan Kraftangan Kuala Kangsar
 
Laksa Oppah Cendol Bota

Mee Udang Perak dikatakan antara mee udang awesome kerana udang yang digunakan adalah udang segar yang baru naik dari laut, kuah pekat serta cukup rempah dan perisa.

Antara yang disebut-sebut orang adalah mee udang di kawasan Kuala Sepetang.

Mee Udang Kuala Sepetang ni den ulang makan dengan family, kawan dan officemates

Kome kena cuba juga mee udang di Telaga Nenas Ayer Tawar.

Mantap Mee Udang Telaga Nenas ni

Menulis ini langsung udah terasa lapar.

 

Rendang Tok adalah salah satu makanan tradisi Perak turun temurun.

Den berkesempatan makan Rendang Tok di Rumah Makan Rendang Tok Yeop akhir tahun lepas.

Tidak dilupakan durian Batu Kurau yang selalu menjadi sebutan kerana bukan sahaja isi durian lembut dan sedap.

Memang comei durian Batu Kurau ni

Dijual pula dengan harga mampu milik.

Ini yang paling awesome sebenarnya.

 

Kawan den sanggup pergi ke Buntong, Ipoh untuk beli kekacang dan kerepek untuk goodies kenduri kahwin adik dia.

Mengenangkan kawan den yang memang cerewet tuh, memang thumbs up la kacang-kacang di sini gamaknya ye hehehehe.

Den pun selalu juga beli kacang di sini hehehehhee.

Terlalu banyak pilihan makanan untuk dikongsikan.

Capati, dimsum, pizza, lempeng, pekasam, popia basah, etc semua ado.

Mee kari Silibin, Ipoh
Yong Tau Fu Balai Bomba Taiping
Capati Perak, Tapah
Capati Yes Sir, Bota
Gandus Parit Buntar
Puri Pengkalan Cafe di Gopeng ke Bota lupa sudah
Nasi Lemak Perak, Tronoh
Lempeng Batu Gajah
Nasi Royale Tok Ayah Gopeng

Kalau hendak cerita tempat makan menarik di Perak ni memang mau jadi 10 mukasurat.

Jadinya kita sambung cerita makan-makan ini di coretan akan datang ye.

Jadinya sila bicara bagaimana hendak dikisahkan tentang kolesterol den ini sebab semua makanan di Perak sedap-sedap belaka.

 

3. Pelbagai Pilihan Hotel Bajet Pada Harga Mampu Milik

Den ni daripada dulu memang akan pilih hotel bajet kalau ke mana-mana pun.

Perak terutamanya Ipoh dan Taiping mempunyai pelbagai pilihan hotel bajet pada harga yang tidak akan membocorkan dompet.

Banyak penginapan di Perak yang unik.

Ini sumpah berbaloi. Tenang je dikelilingi alam semulajadi.

Hendak chalet di dalam hutan di tepi sungai?

Hendak hotel di tengah bandar yang dekat dengan semua kemudahan?

Terjebak dengan camping?

Ada pelbagai tapak perkhemahan di Perak.

Glamping?

Hotel yang ada taman tema?

Chalet yang celik mata nampak kabus?

 

Kome T20 tidak biasa tidur hotel bajet?

Jangan risau sebab hotel dengan fasiliti gegak gempita dengan harga kayangan pun ada.

Pendek kata semua jenis penginapan ada di Perak ini.

 

Den rasa udah lebih 20 hotel den pernah menginap di Perak ni.

Den sampai sekarang teringat penginapan My Dream Homestay di Ipoh

https://www.dinohauz.com/2019/01/mydream-homestay-ipoh.html

Suka sebab dia macam cozy dan welcoming gila.

4. Banyak Kawasan Hijau dan Alam Semulajadi

Perak adalah di antara negeri di Malaysia yang masih mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang tinggi.

Keluar sudah ayat gomen hehehehehehehe.

Hutan Royal Belum telah dikenalpasti sebagai satu jaringan penting untuk flora dan fauna di dalam Central Forest Spine bagi pemuliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Parah ayat gomen den ni hahahhahhaa.

 

Perak juga dilimpahi dengan batuan kapur serta kolam lombong tinggalan aktiviti bijih timah.

Bukit Larut atau Maxwell Hill adalah kawasan tanah tinggi yang paling sejuk di Semenanjung Malaysia.

Jangan lupa menyusuri sungai dengan bot bagi menghayati keindahan kehijauan pokok bakau dan kerlipan kelip-kelip di Kuala Sepetang.

Boleh baca cerita Tasik Cermin yang den pergi tahun 2023 di sini ye: https://www.dinohauz.com/2023/11/tempat-menarik-gunung-rapat-ipoh.html

Taman Rekreasi Sungai Lang pun molek untuk seisi keluarga.

Kepada pemerhati burung atau yang berminat dengan aktiviti bird watching, pastinya tidak mahu terlepas peluang melihat pelbagai spesies burung di Kuala Gula Bird Sanctuary.

Kome boleh juga mandi mata air panas di Felda Residence Hot Spring:

https://www.dinohauz.com/2023/09/pengalaman-menginap-3-hari-2-malam-dan.html

Ada banyak sangat tempat alam semulajadi menarik di Perak yang bisa menggugat jiwa.

Taman Tasik Taiping, Gua Tempurung, Perkampungan Nelayan dan macam-macam tempat lagi.

Den paling teringin hendak tengok Blue Tears di Pulau Sembilan, Bagan Datuk.

 

Perak juga mempunyai banyak tempat memancing yang bisa menggugat hati kaki pancing.

Disebabkan kali terakhir den pegang joran memancing adalah pada 35 tahun lepas, makanya den tidak begitu cakna pasal tempat memancing ni hehehe.

Cerita alam semulajadi di Perak ini je memerlukan satu post khas.

 

5. Pulau, Pantai, Sungai dan Air Terjun

Ini semua termasuk dalam alam semulajadi juganya.

Saja hendak buat satu kategori sebab ianya melibatkan sumber air.

Pulau Pangkor yang mengambil masa 45 minit perjalanan dari Lumut menawarkan kombinasi alam semulajadi dan sejarah untuk kita terokai bersama keluarga dan kawan-kawan.

Pulau Pangkor: https://www.dinohauz.com/2020/03/tempat-menarik-pulau-pangkor-2020.html

Den rasa macam belum pernah sampai Pulau Giam.

Rasanya kebanyakan pantai di Perak den pernah pergi.

Pantai Teluk Batik, Pantai Teluk Senangin, Pantai Remis, Pantai Pasir Panjang, Pantai Pasir Bogak Pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor den udah pergi.

Pantai Teluk Batik
Pantai Remis
Sunset di Pantai Remis

Kome kena menyusuri pesisir Pantai Ban Pecah sekali seumur hidup.

Memang awesome tempat ni.

Lata Kinjang, Lubuk Timah, Ulu Chepor, Air Terjun Batu Berangkai, Kampar Air Terjun Hutan Lipur Papan, Sungai Bernam di Teratak River View Tanjung Malim, etc.

Boleh baca pengalaman den di Sungai Bill Tanjung Malim di sini:

https://www.dinohauz.com/2017/12/air-terjun-sungai-bill-cool-spring.html

Den pernah bawa anak-anak den mandi di Air Terjun Batu Berangkai dan Air Terjun Hutan Lipur Papan.

Air Terjun Papan
Air Terjun Bukit Berangkai

Memang banyak sumber air awesome di Perak ni.

 

6. Sejarah dan Heritage Trails

Den baru tau nama asal Perak sebelum kedatangan Islam adalah Kastan Zorian (sumber: catatan Perak Governance Gazzette 1890).

Tinggalan perkara berkaitan lipatan sejarah dapat dilihat pada bangunan, jaringan pengangkutan keretapi, jambatan dan sebagainya.

 

Sebut Perak tidak sah kalau tidak membicarakan tentang peristiwa pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak kan?

Jadinya kome kena melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Ada banyak denai warisan macam Taiping Heritage Trails, Kuala Kangsar Heritage Trails, Ipoh Heritage Trails, etc.

Den sempat pergi Muzium Perak sahaja setakat ini.

Ada banyak lagi muzium yang den kena pergi di Perak ni.

Muzium DiRaja Kuala Kangsar, Muzium Geologi, Muzium Telegraf, Muzium Matang, Muzium Gopeng, etc.

Kami sempat pergi ke Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta, Kampar.

Kellie’s Castle walaupun lebih dikenali sebagai destinasi menarik untuk bergambar tetapi ia sebenarnya adalah salah satu bangunan bersejarah yang termasuk di dalam Batu Gajah Heritage Trail.

Den belum pernah sampai sini.

Boleh banyak sedikit tentang Denai Warisan Batu Gajah dan Pekan Papan di sini ye

https://www.dinohauz.com/2023/12/12-tempat-menarik-den-ada-rezeki-jejak.html

Bangunan Kediaman Jururawat Batu Gajah

22 Hale Street Heritage Gallery merupakan tempat merasai vibes Ipoh zaman dulu-dulu katanya.

Den pun belum sempat datang lagi ke sini.

Kena buat satu coretan khas untuk heritage trails sahaja rasanya.

Banyak bangunan dan tempat bersejarah di Perak ni.

 

7. Tapak Warisan

Jabatan Warisan Negara telah mengiktiraf 19 Tapak Warisan di Negeri Perak yang merangkumi:

Tapak Warisan (Bangunan)

Tapak Warisan (Arkeologi

Kategori Tapak Warisan (Monumen)

Kategori Tapak Warisan (Semulajadi)

Ini den cerita nanti ye sebab panjang berjela pula post ini nanti.

Lembah Lenggong, Hulu Perak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak tahun 2012.

Manusia Perak (Perak Man) adalah rangka manusia tertua berusia lebih 10,000 tahun dijumpai di sini pada tahun 1991.

Geopark Lembah Kinta juga merupakan kawasan yang perlu dimasukkan di dalam itinerari apabila berkunjung ke Perak ye.

Ianya melibatkan kawasan Ipoh, Batu Gajah dan Kampar.

Tapak Warisan Geologi ini kaya dengan bukit batu kapur serta mempunyai pelbagai warisan sejarah perlombongan, sejarah geologi dan kepelbagaian landskap semulajadi.

 

Taiping Bandar Warisan Perak mempunyai 7 tapak warisan yang den berhasrat hendak lawat.

Antaranya adalah Kota Ngah Ibrahim.

Nanti kita cerita lagi di dalam coretan akan datang ye.

Antara tapak warisan yang den pernah singgah adalah Masjid Panglima Kinta (Ipoh), Istana Raja Billah (Papan), Jambatan Keretapi Victoria (Kuala Kangsar) dan Stesen Keretapi Ipoh.

Victoria Bridge
Masjid Panglima Kinta
Istana Raja Billah

Boleh baca tentang Masjid Panglima Kinta di sini ye:

https://www.dinohauz.com/2023/10/tempat-menarik-ipoh-masjid-panglima.html

Ada banyak sangat tempat hendak dilawati di Perak nih kan?

 

8. Seni

Tahu tak kome lagu Negaraku adalah lagu yang diubahsuai daripada lagu Negeri Perak yang mana iramanya adalah daripada lagu La Rosalie hasil gubahan seorang pemuzik berbangsa Perancis?

Berseni kan orang Perak ni?

 

Pastinya ramai di antara kita yang pernah menonton filem Hantu Kak Limah karya Mamat Khalid.

Den baru tau arwah merupakan adik kepada kartunis terkenal negara iaitu Lat.

Rumah LAT adalah antara tarikan terbaru di Batu Gajah.

Nanti den kongsikan pengalaman den melawat Rumah LAT ye.

Doakan den rajin hendak mengarang hehehehee.

Seni mural ada banyak sangat di Perak ni ye.

Den pernah sampai di Tapah Mural Art Street dan di Ipoh.

Ada banyak lagi kawasan yang ada lukisan mural yang den belum jelajah di Perak ni.

 

Kalau kome pergi Muzium Perak, kome boleh tengok senarai anak seni yang berasal dari Perak di bahagian Seniman Sepanjang Zaman.

Antaranya Ibrahim Pendek (Taiping), Fauziah Nawawi (Ipoh), Jins Shamsuddin (Taiping), Rahim Razali (Batu Gajah), Mior Hashim Manap (Tanjung Tualang),

Michelle Yeoh, pelakon kelahiran Ipoh memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Academy Awards melalui filem Everything Everywhere All at Once.

Sekadar memetik beberapa nama.

 

Ada banyak lagi cerita seni di Perak ini termasuklah persembahan kebudayaan.

Nanti kita cerita lagi ye.

 

9. Kraftangan

Kalau cerita pasal kraftangan Perak, imej yang menjelma dalam kepala adalah labu sayong.

Kraftangan tekatan benang emas/perak pada kipas tangan, sarung kusyen, kotak sirih junjung, etc dilupa jangan.

Ukiran dan corak pertukangan logam memang halus dan berseni sangat.

 

Kalau kome tanya den kan pasal di mana hendak beli kraftangan Perak ni.

Den sarankan kome pergi ke Medan Kraftangan Lembah Kuala Kangsar.

Di sini ada deretan kedai yang boleh dikatakan ala-ala one stop centre begitu.

Ada labu sayong.

Ada anyaman mengkuang.

Barangan berasaskan rotan.

Macam-macam la ada sini.

Ada barangan logam.

Den berkenan dengan tali pinggang logam hari tuh tapi tidak terbeli.

Macam kena pergi lagi kan?

 

Kalau pergi Istana Kayangan, boleh tengok dinding anyaman buluh di situ.

Kalau tengok rumah-rumah tradisi lama di Perak, boleh tengok dinding anyaman buluh.

 

Den pernah singgah di Masjid Ihsaniah Iskandariah, Kampung Kuala Dal, Padang Rengas.

Tapi den tak sempat masuk dalamnya sebab masa ni kawan den udah mengamuk penat memandu.

Minta tolong ambil gambar pun dia tak nak hehehehehe.

 

Eh banyak la keistimewaan Perak ni.

Jadinya moh la kome kita ke Perak.

 

10. Lokasi Strategik

Perak ni dia kira lebih kurang tengah-tengah la untuk den kalau kita tengok peta Semenanjung Malaysia.

Kalau bagi kita yang duduk di Lembah Klang ni, in sya Allah boleh sampai Ipoh dalam masa 2 jam 30 minit.

 

Bagi mereka yang tidak boleh mengambil cuti yang panjang kerana pelbagai faktor terutamanya kerana tuntutan kerja (terutamanya jika boss memang tidak mahu luluskan cuti kita huhuhuhu), Perak adalah destinasi yang sesuai untuk sesi percutian singkat.

Bagi mereka yang bekerja waktu pejabat, lepas tamat waktu bekerja pada Jumaat petang, boleh terus bergerak ke Ipoh.

Ahad malam udah boleh gerak balik ke Lembah Klang.

Ngam juga kalau Isnin pagi sebelum semut bangun kita gerak balik ke Lembah Klang.

 

11. Pilihan Akses Dengan Kenderaan Darat atau Keretapi

Perak merupakan destinasi road trip yang mengambil masa tidak begitu panjang dan mempunyai tempat persinggahan menarik.

Konvoi motosikal kapcai pun tidak terasa patah benar pinggangnya sebab jarak yang tidak begitu jauh.

KTM ETS

Kalau malas hendak memandu, boleh sahaja naik ETS.

Boleh tengok senarai stesen keretapi KTMB di sepanjang negeri Perak di website KTMB ye.

Ianya lebih kurang:

Kuala Lumpur - KL Sentral - Tanjung Malim - Slim River - Sungkai - Tapah Road - Kampar - Batu Gajah - Ipoh - Sungai Siput - Kuala Kangsar - Padang Rengas - Taiping - Bagan Serai - Parit Buntar

Tapi kome kena tengok jenis ETS yang kome naik ye sebab tidak semua ETS akan berhenti di setiap stesen.

Semua ETS akan berhenti di stesen Tanjung Malim - Kampar - Batu Gajah - Ipoh.

 

KTM Komuter

Sesiapa yang hendak berjimba di Tanjung Malim sahaja, boleh juga naik KTM komuter laluan Pelabuhan Klang - Tanjung Malim.

Kome tahu tak ada perkhidmatan KTM Komuter Utara?

Ada perkhidmatan dari Ipoh ke Butterworth dan Butterworth ke Padang Besar.

Bagi laluan Ipoh - Butterworth, komuter akan berhenti di stesen berikut:

Sungai Siput - Kuala Kangsar - Padang Rengas - Taiping - Kamunting - Bagan Serai - Parit Buntar

Bagi pengayuh basikal tegar yang mematuhi peraturan jalan raya dan tidak menyusahkan pengguna jalan raya yang lain, kome boleh guna perkhidmatan Ride n Ride Bicycle Train.

Semua maklumat ni tengok di website KTMB ye:

https://www.ktmb.com.my/traintime.html

Kalau kome hendak naik bas pun bisa juga.

Jadinya senang kan hendak berjimba di Perak ni.

 

12. Banyak Tempat Menarik Percuma

Den suka banget tempat yang boleh berjimba secara percuma.

Perak ni ada banyak sangat taman rekreasi yang sesuai untuk seisi keluarga.

Boleh mengeluarkan peluh tanpa perlu keluarkan kos begitu.

Banyak tempat menarik untuk OOTD juga.

 

Taman Tasik Taiping.


Antong Coffee Mill.

River Front di serata Perak - River Front Teluk Intan, River Front Kinta, Lumut River Front, etc.

Taman Pinggiran Sungai Kerian, Parit Buntar.

Jeti Kg Telaga Nenas, Ayer Tawar, Perak.

Taman Tasik Temoh, Tapah.

Sekadar memetik beberapa kawasan yang boleh masuk secara percuma.

 

13. Aktiviti Lasak dan Aktiviti Luar

Bagi mereka yang merupakan adrenalin junkie, ada banyak tempat untuk kome jejak dan buat aktiviti lasak kome.

Den tidak minat aktiviti lasak dan aktiviti luar.

Tetapi pengalaman White Water River Rafting di Sungai Kampar memang best.

Dikenali sebagai tahap kesukaran 3, memang den tidak akan lupa pengalaman ni.

Ini adalah salah satu bucketlist yang menarik untuk dibuat di dalam hidup.

Boleh baca di sini ye:

https://www.dinohauz.com/2022/12/pengalaman-white-water-rafting-sungai.html

 

Sekarang ramai orang suka berkhemah kan?

Kalau taip aje senarai tapak perkhemahan di Perak, berenyut senarainya.

Setakat ini den cuma pernah terlibat di satu tapak perkhemahan je.

Campsite Gopeng:

https://www.dinohauz.com/2022/12/tempat-menarik-perak-2022-gopeng.html

Den udah sampai 2 kali Tanjung Tualang Tin Dredge.

Sekarang ni sudah ada maze dan rock climbing di sini khabarnya.

Macam kena ulang pergi tengok ye.

https://www.dinohauz.com/2022/12/tempat-menarik-perak-2022-tanjung.html

Hiking bukit dan gunung bukan juga aktiviti den tetapi den sempat naik ke Bukit Larut separuh jalan hehhehhee.

Gunung Baling, Gunung Pulai, Gunung Chabang, Gunung Semanggol, Gunung Peninjau, Gunung Bubu, Bukit Botak, Bukit Batu Putih, Bukit Kledang, Bukit Bangkong, etc adalah antara checklist untuk hikers.

Den ada seorang kawan, seorang sepupu dan seorang kenalan yang memang misinya menakluk gunung dan bukit bukan sahaja di Malaysia tetapi seantero dunia.

Memang den tabik la dekat deme bertiga ni.

Den ni naik tangga dari tingkat 12 ke tingkat 13 pun udah minta nyawa.

Jadinya den tumpang gembira bila mereka kongsi puncak tinggi yang mereka berjaya tawan.

 

14. Café atau Kedai Kopi di Sana Sini

Ini adalah antara aktiviti yang den suka buat di mana-mana sahaja termasuk Perak.

Perak ada banyak sangat café hipster dan kedai kopi di Perak.

Untuk orang tua macam den, den lebih minat kedai kopi.

Tapi okay je hendak cuba mana-mana café hipster begitu konsepnya.

 

Red Mountain Sin Yoon Loong White Coffee, Ipoh atau Bukit Merah Wood Products Sdn Bhd:

https://www.dinohauz.com/2022/10/minum-signature-syl-white-coffee-dan.html

Big Whale Café Manjung: https://www.dinohauz.com/2020/03/tempat-menarik-manjung-2020-big-whale.html

Setakat ini den tidak menulis banyak tentang kedai kopi dan café yang den pernah pergi di Ipoh.

In sya Allah den usahakan nanti ye.

Cucur udang dia sedap. Di Ipoh.
Cafe anak arwah Mamat Khalid di Ipoh
Nasi goreng udang galah ngam. Di Tanjung Tualang.
Skoley Kabin di Batu Gajah
Kopi Pancing Batu Gajah

15. Tempat OOTD Merata Sakan di Sana Sini

Den tidak banyak gambar OOTD sebab tiada siapa hendak melayan den bergambar.

Selalu gambar den macam belacan je huuhuhuhu.

Perak ni macam setiap tempat pun comel teruk untuk dirakamkan gambarnya.

 

Bandar Acasia Kampar tempat ala-ala Disneyland tetapi sayang tiada penghuni.

Memang cantik untuk OOTD sini dengan latarbelakang warna warni.

Lukisan mural memang latarbelakang menarik untuk OOTD.

Cuma rajin ke idok hendak bergambar aje ye.

 

Plan B memang banyak gila tempat unik untuk OOTD.

Cafes dekat Concubine Lane tuh semua cantik-cantik untuk OOTD.

Nih den bergambar dekat Ipoh Platf9rm Café atau Café Harry Potter.

Sayang kawan den malas nak melayan den nak bergambar pakai jubah Harry Potter huuhuhu.

 

Ladang Bunga Matahari, Bagan Datuk pun cantik banget untuk bergambar.

Dalam BookXcess Koh Heng Square pun menarik untuk bergambar sebab kedai bukunya bank lama.

Serious cantik bergambar di sini.

Merata boleh bergambar sebenarnya.

Begini la kalau anak den ambilkan gambar. Siap masuk gambar jari.

16. Tempat yang Kanak-Kanak Pasti Suka

Dia bila ada anak-anak ni memang kena cari tempat yang deme suka.

Lagipun tak seberapa lama pun deme dengan kita.

Jadinya moh la kita mencipta kenangan begitu.

Anak-anak den dibawa ke mana sahaja deme gembira.

Konsepnya asal tidak perlu pergi ke sekolah kita pergi ke kedai serbaneka sudah cukup bahagia begitu.

 

Den sarankan kome bawa budak-budak tengok penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari di Pengkalan Baharu.

In sya Allah deme pasti suka sebab deme berpeluang melihat 3 tahap pembesaran penyu iaitu anak penyu yang baru menetas, penyu remaja dan penyu dewasa.

Den udah bawa budak-budak ke sini 2 kali.

https://www.dinohauz.com/2017/02/pusat-konservasi-penyu-segari.html

 

Lost World of Tambun, Bukit Merah Lake Town Resort, Zoo Taiping, Spritzer EcoPark, Refarm Kampar dan banyak lagi tempat yang budak-budak akan suka.

Di Spritzer Ecopark

Bila anak-anak gembira, kita pun tumpang gembira sekali.

 

17. Tempat Menarik Waktu Malam

Untuk orang macam den yang biasanya pukul 9 malam telah hanyut di lautan mimpi, aktiviti waktu malam jarang termasuk di dalam agenda.

Tetapi bagi mereka yang memang suka bersantai di waktu malam, Perak ada banyak tempat awesome ye.

Antaranya adalah:

Bulatan Aman Jaya.

Air Pancut depan Stesen Keretapi Ipoh.

Dataran Majlis Bandaraya Ipoh

Plan B Ipoh - boleh melepak makan di banyak café hipster di dalam persekitaran klasik begitu.

Lost World of Tambun - ini den teringin banget hendak pergi tetapi belum berkesempatan.

Zoo Taiping - Night Safari.

 

Den kongsikan sedikit tentang tempat yang den pernah pergi waktu malam ye.

Riverwalk Kinta Riverfront

Premis perniagaan dan aktiviti waktu malam boleh tahan menarik di sini.

Kome boleh mengayuh basikal atau tricycle.

Boleh menjamu selera di Mike Food.

Boleh gunting rambut juga di sini.

Lampu LED warna-warni membuatkan kawasan ini cantik untuk OOTD.

 

Gerbang Malam Ipoh

Ala-ala uptown dan pasar malam yang beroperasi setiap malam.

Reruai menjual pelbagai barangan seperti pakaian, tali pinggang, kasut, barang solek, mainan kanak-kanak dan banyak lagi.

Ini memang temanya akan terbeli walaupun hanya hendak tengok-tengok sahaja hehehehehe.

Ipoh Night Market

Ini den telah pergi sebanyak 2 kali pada tahun 2023.

Den rasa ini antara tempat yang awesome teruk di Ipoh.

Banyak sangat pilihan makanan sedap-sedap.

Hendak beli barang di kedai-kedai ala uptown pun boleh.

Boleh baca di sini ye sesi makan-makan den di Ipoh Night Market

https://www.dinohauz.com/2023/10/tempat-menarik-di-ipoh-ipoh-night.html

 

Den pernah pergi ke Dataran Warisan Taiping waktu malam.

Tidak jumpa udah gambar di sini.

Dia ala-ala uptown juga.

Budak-budak suka sebab ada aktiviti bawa kereta kecil di situ.

Ini pun antara tempat awesome waktu malam.

 

Cukup la kot ye 17 sebab kenapa korang kena melawat Perak Tahun Melawat Perak 2024

Karang entah bila hendak siap coretan ini hehehehehe.

Jangan lupa hashtag #PromisingPerak dalam perkongsian kome di dalam media sosial ye.

Moh kome kita ke Perak tahun 2024 ni.

Doakan juga den rajin hendak cerita tentang tempat-tempat menarik di Perak yang den sempat meninggalkan jejak.

Moh kita.

 

 

2 Comments

  1. Atas titah Permaisuri Cuya, Kerajaan Kelapa menjemput tuan hamba untuk menyembah duli menyertai giveaway yang sedang berlangsung di blog Kerajaan Kelapa.

    Yang benar,
    Permaisuri Cuya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allah....sure dah terlepas...komen Cuya masuk dalam spam rupanya huhuhu

      Delete