Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Kita sambung cerita sesi berjimbaan di Semporna yang telah lama tertangguh buat sekian kalinya.


Alhamdulillah sepanjang 4 hari 3 malam kami di Semporna, cuaca memang awesome.

Cerah dan panas sepanjang masa.

Memang ketibas tetapi kami dapat buat semua aktiviti yang dirancang.

Gambar-gambar pun memang cantik sebab pencahayaan terang dan mencukupi begitu.

Eh skima benar pula ayatnya ye.

 

Rezeki kami dapat hiking Bohey Dulang yang terletak di dalam Taman Laut Tun Sakaran untuk melihat pemandangan yang sangat memukau di puncak bukit.

Ada beberapa orang kenalan den yang tidak dapat hiking kerana cuaca tidak mengizinkan.

Apabila hujan walaupun renyai-renyai memang kawasan ini akan ditutup daripada sebarang aktiviti hiking atas faktor keselamatan.

Jadinya bila tidak dapat hiking, kena ulang datang ke Semporna untuk tengok pemandangan awesome Bohey Dulang.

 

Cara Pergi ke Pulau Bohey Dulang

Perjalanan dari jeti Nusakuya Resort ke Pulau Bohey Dulang, Taman Laut Tun Sakaran mengambil masa lebih kurang 20 minit dengan menaiki bot.

Kalau dari jeti awam Semporna, perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 30 minit.

Kalau kome baru je sampai ke Lapangan Terbang Tawau, makanya ia akan mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit untuk sampai ke jeti awam Semporna, jadinya lebih kurang 2 jam lebih untuk sampai ke Pulau Bohey Dulang ye.

Harga Pakej ke Pulau Bohey Dulang

Kena ambil pakej ye untuk hiking Bohey Dulang.

Kebiasaannya pakej merangkumi 2 perkara iaitu:

1)bot pergi dari Jeti Awam Semporna - Bohey Dulang dan balik dari Bohey Dulang - Jeti Awam Semporna

2) permit masuk ke Taman Laut Tun Sakaran

3) Guide dan malim gunung

4) Peralatan snorkeling

4) Makan tengahari (simple box set)

Pakej 1 hari adalah bermula dari RM180++

Kome kalau hendak pergi ke pulau-pulau di Semporna termasuk hiking Bohey Dulang boleh berhubung dengan En Zaki Pakej Budak Merah (PBM) ye 0198993544.

Boleh baca pengalaman den dan member den mengambil pakej 4 hari 3 malam dengan PBM di SINI ye.

 

Pengalaman Mendaki di Bohey Dulang

Seusai sampai di Pulau Bohey Dulang, guide memberikan taklimat ringkas berkaitan sesi hiking Bohey Dulang setinggi lebih kurang 650 meter dari aras laut.

Dimaklumkan ada route yang dicadangkan untuk kami hiking adalah route yang biasa.

Perjalanan mendaki mengambil masa lebih kurang 1 jam bergantung kepada stamina masing-masing.

Disebabkan den tidak pernah berminat dengan aktiviti hiking, makanya agak terpleot hiking Bohey Dulang ni.

Walaupun sebenarnya route nya tidak la mengerikan (bagi pandangan den yang hiking 5 tahun sekali ni) tetapi tetap juga 'minta nyawa' begitu bagi den.

Tetapi demi sekeping gambar digagahkan juga pendakian ini ye.

Sepanjang perjalanan tersedia guide yang akan memberikan galakan kepada kita dengan mengatakan ‘sikit je lagi….rehat dulu…lepas tuh jalan lagi….”

Memang memberi semangat betul.

Boleh sahaja kita berehat di atas batu atau tunggul pokok, pondok rehat, etc sepanjang mendaki apabila penat ye.

In sya Allah untuk orang yang tidak pernah hiking pun boleh panjat Bohey Dulang ni cuma masa ketersampaian kita di puncak itu yang berbeza.

 

Berbaloi Ke Hiking Untuk Tengok Pemandangan Bohey Dulang?

Jadinya berbaloi ke idok terpleot kaki memanjat ke puncak Bohey Dulang ni?

In sya Allah memang berbaloi dapat tengok breathtaking view bak kata orang putih.

Macam wahhhhhhh….cantiknya kombinasi pelbagai warna biru, turquoise, etc.

Kena pula dengan panas terik.

Memang indah sekali pandangan mata.

Kalau kome jenis macam den yang asal bergambar, makanya lepak 1 jam di puncak ini sudah mencukupi.

Molek masa untuk bergambar dan berehat melepaskan lelah sebelum memulakan perjalanan mendaki turun bukit yang mengambil masa lebih kurang 1 jam juga.

Kalau kome tidak membawa air semasa hiking ni, jangan risau sebab ada air dijual di puncak ni.

Cuma harga memang kayangan tetapi kita faham sebab jenuh la ye hendak bawa air dalam icebox memanjat ke atas ni.

1 tin Coke RM5.

Kira boleh la kan?

 

Bagi orang yang ada masalah lutut macam den, perjalanan turun bukit adalah lebih mengerikan daripada mendaki naik kerana kalau tersalah langkah tergelungsur lalu bertambah terpleot la lutut den.

Jadinya perjalanan turun lebih mencabar bagi den kerana perlu lebih berhati-hati.

Seusai sampai di kaki bukit, jangan lupa mengambil gambar di sekitar jeti sebab cantik pemandangannya.

Tarikan dan Aktiviti di Pulau Bohey Dulang

Selain daripada aktiviti hiking untuk tengok pemandangan awesome di Bohey Dulang, kome juga boleh berenang dan snorkeling di sekitar jeti sebab airnya memang jernih banget dan terdapat juga beberapa spesies ikan di sini.

Kalau ada banyak masa sebenarnya boleh sahaja lepak lebih lama di sini.

Tetapi memandangkan pakej kami ada aktiviti snorkeling di 2 pulau yang lain, makanya tidak dapat la kami berlama-lamaan di sini.

Jadinya kalau kome ke Semporna, hiking untuk melihat pemandangan indah di Bohey Dulang udah jatuh dalam kategori wajib ye.

In sya Allah orang yang tidak pernah hiking pun boleh panjat bukit ini secara perlahan-lahan.

Route nya bagi den tidak begitu mendebarkan.

In sya Allah molek untuk beginner.

Kalau datang Semporna buat pertama kali tetapi tidak mendaki Bohey Dulang macam tidak lengkap sesi berjimbaan begitu. 

Ia seolah-olah kalau kome pertama kali ke Kuala Lumpur tetapi tidak melawat Menara Berkembar Petronas begitu.

Selamat hiking di Bohey Dulang ye.


 

2 Comments