Pelancaran ‘Perak Box Office’ Yang Dijangka Akan Menjana Pendapatan RM70 Juta Dari Sektor Pelancongan Dalam Tempoh 5 Tahun oleh Pelancongan Negeri Perak (PKP Perak)
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Den berpeluang menyaksikan pelancaran kerjasama platform penjualan tiket unik khusus untuk negeri Perak yang dikenali sebagai ‘Perak Box Office’ di Hotel Weil Ipoh Perak oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam & Pelancongan Negeri Perak (PKP Perak), YB Dato’ Nolee Ashilin bt. Dato’ Mohammed Radzi.
Perak sememangnya merupakan salah satu destinasi pilihan pelancongan di Malaysia, mempunyai kepelbagaian flora dan fauna dan kaya dengan sejarah yang menjadi tarikan pelancongan. Selain itu, pelbagai acara seni kreatif dan kebudayaan kerap dianjurkan bagi menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.
Kerjasama platform ‘Perak Box Office’ ini disokong oleh PKP Perak dan People of Remarkable Talents (PORT) di mana inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan industri pelancongan negeri Perak dan menjana lebih dari RM70 juta dalam tempoh lima tahun.
Sebagai usaha untuk menonjolkan tarikan-tarikan negeri ini, L’Univers dan Pouch Nation berganding bahu menghasilkan sebuah platform digital menyeluruh bagi memudahkan para pengunjung mengakses tarikan-tarikan yang menarik dan acara-acara yang sedang berlangsung. Ini termasuklah konsert, perayaan, festival makanan, festival muzik, pameran dan konvensyen, pertunjukan bot antarabangsa, pertunjukan kereta dan acara triathlon.
YB Dato’ Nolee Ashilin bt. Dato’ Mohammed Radzi berkata, “Saya berasa gembira untuk menyambut para pelancong tempatan dan antarabangsa ke destinasi pelancongan kami dan melakarkan memori yang berkekalan. Sepanjang tempoh pasca pandemik, saya sedar yang kita boleh lakukan yang lebih baik untuk #travelperaklah dan Cuti-Cuti Malaysia.”
Beliau menambah, “Platform seperti ‘Perak Box Office’ bukan sahaja berguna kepada para pelancong tempatan dan antarabangsa untuk mengunjungi destinasi-destinasi di Perak dan mendapat maklumat terkini mengenai acara, tetapi juga berfungsi sebagai pemangkin untuk pembangunan negeri Perak dengan menjana pendapatan sebanyak RM 70 juta dalam tempoh lima tahun.”.
Bersempena dengan pengumuman ini, L’Univers turut mengumumkan mereka akan membawa pertunjukan-pertunjukan seni kreatif dan kebudayaan dari serata dunia ke negeri Perak, bermula dengan pelancaran “The UK Bubble Show”, sebuah pertunjukan silap mata yang memenangi anugerah menampilkan pemegang beberapa Rekod Dunia, Eran Backler yang bakal mencipta satu lagi Rekod Dunia di Malaysia.
Para pelancong juga akan disajikan dengan pelbagai pertunjukan yang menghiburkan pada suku akhir tahun 2022, yang akan tersedia di platform ‘Perak Box Office’ kelak. Ini termasuk:
● Simposium Muzik Antarabangsa
● Festival Jazz Pulau Pangkor
● Hari Keluarga Krismas, Gopeng
● Pesta Laut, Lumut
● Bengkel Tarian dan Gimnastik Persatuan Seni Tari Pendidikan Antarabangsa (PSTPA)
● Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia
Ketua Pegawai Operasi Pouch Nation, En. Gonçalo Vaz de Carvalho berkata, “Malaysia merupakan negara yang menakjubkan dengan pelbagai tarikan. Semasa menerokai negeri Perak, kami di Pouch Nation amat menghargai kecantikannya dan kepelbagaian tarikan yang tersedia, termasuklah juadah-juadah tempatan. Walaubagaimanapun, Perak tidak mendapat perhatian yang sepatutnya, dan saya berbangga kerana dapat menonjolkan keunikan negeri Perak melalui solusi digital kami dan membantu para pemain industri pelancongan memodenkan pemasaran mereka untuk menarik minat lebih ramai orang.”
Ketua
Pegawai Eksekutif L’Univers, En. Shannon Lee berkata, “Untuk negeri yang
memiliki bakat-bakat mengagumkan dan kepelbagaian budaya, ‘Perak Box Office’
bertindak sebagai pentas untuk negeri Perak dan Malaysia menonjolkan
tarikan-tarikan kepada dunia. Di dalam membangunkan platform ini, kami mampu
membawa lebih ramai pengunjung ke negeri Perak dan bakal mencipta peluang
pekerjaan di samping mempromosikan pelancongan. Saya percaya, ‘Perak Box
Office’ bakal melonjakkan Perak ke peringkat yang lebih tinggi, menarik
pelancong tempatan dan antarabangsa penuh dengan elemen-elemen seni kreatif dan
kebudayaan yang mempersonakan.”
Cik Audrey Kwan, Presiden Persatuan Seni Tari Pendidikan Antarabangsa (PSTPA) melahirkan rasa keterujaan beliau kerana PSPTA dan PORT diberi peluang untuk bersama-sama berkolaborasi membangunkan ‘Perak Box Office’ melalui sumbangan seni, budaya dan pendidikan.
Pelancaran ‘Perak Box Office’ diserikan dengan persembahan oleh 5 orang ahli gimnas cilik dari Vianya Gymnastic Academy.
Semoga dengan pelancaran ‘Perak Box Office’ ini dapat memacu perkembangan industri pelancongan di Perak dan menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menikmati keindahan Perak dan memahat kenangan yang terbaik semasa mereka berada di Perak.
0 Comments