Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Minggu lepas den melawat Selangor Fruit Valley (SFV) buat kali kedua. Pertama kali den datang dengan anak-anak den pada tahun 2017. Lepas ni kena bawa lagi budak-budak ke sini sebab memang awesome tempatnya.

Selangor Fruit Valley (SFV) sememangnya merupakan satu tempat yang perlu dilawati oleh semua orang tidak kira peringkat umur sebab tarikan dan kemudahan yang ada di sini boleh dinikmati oleh semua orang terutamanya bagi pencinta flora dan fauna.

Bawa boss @happynesthandmade JJCM di SFV

SFV dengan keluasan lebih kurang 1000 hektar merupakan satu kawasan yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan tiga (3) tujuan utama iaitu jaminan makanan (food security), pelancongan pertanian (agrotourism) dan usahawan tani (agrotreperneur).

Dua Puluh Lima (25) Jenis Buah-buahan Tempatan

SFV dilengkapi dengan 25 jenis buah-buahan tempatan seperti kelapa pandan, jambu, nangka, manggis, durian, rambutan, pulasan, belimbing, nangchem, mangga, manggis, cempedak, pisang, dukong dan sebagainya.

Harga Tiket

Kenapa terus cerita pasal harga tiket pula ni? Sebab den hendak beritahu kalau tidak ambil pakej tambahan pun, aktiviti yang tersedia dengan harga tiket yang biasa pun adalah sangat menarik.

Harga Tiket memang sangat mampu milik ye.

Dewasa: RM15/orang

Kanak-kanak dan warga emas: RM10/orang

Boleh beli tiket di kaunter atau boleh juga beli secara atas talian di laman sesawang SFV ye.

Sekeping tiket tanpa mengambil mana-mana pakej tambahan lain akan mendapat perkara-perkara berikut ye:

  • Tiket Masuk
  • Menaiki Tram
  • Lawat Pavilion, Laman Mini Herba & Eco Bridge
  • Lawat Taman Rusa, Taman Arnab & Laman Itik
  • Lawat Rumah Kampung
  • Percuma buah potong

Jadinya kalau tidak ambil mana-mana pakej pun, tetap sesi berjimbaan kita di SFV akan meriah dan gembira tau.

Aktiviti-Aktiviti Menarik di SFV

Ada banyak lagi aktiviti yang SFV tawarkan bagi memastikan pengalaman berkunjung ke SFV menjadi antara detik-detik indah untuk diabadikan sebagai kenangan bersama keluarga dan teman-teman. Korang boleh tengok semua aktiviti yang korang boleh buat di laman sesawang SFV ye.

Menaiki Tram

Jangan risau kena berjalan jauh ye kerana semua tarikan yang ada di sini termasuk mengelilingi ladang buah dihubungkan dengan tram.  

Best tau naik tram ni. Bukan budak-budak je suka, orang dewasa pun happy je dapat naik tram ni. Hampir-hampir den menyanyi lagu Mujshe Dosti Karoge di situ hehehehehehe.

Happy naw budak berdua ni dapat naik tram hehehheehe
Rezeki dapat naik tram baru ni

Mini Petting Zoo

SFV sememangnya merupakan syurga dunia untuk anak-anak di mana mereka berpeluang untuk beramah mesra dengan beberapa spesies haiwan yang terdapat di sini.

Ada mini petting zoo iaitu Taman Rusa dan Taman Arnab. Boleh juga tengok kambing berdekatan dengan Rumah Kampung. Ada laman itik juga.

Taman Arnab

Kalau singgah ke Taman Arnab ni memang lama sikit sebab bukan sahaja kita akan leka bermain dengan arnab-arnab comel di sini tetapi ada binatang lain yang tidak kurang mengundang rasa hendak berlama-lamaan di sini. Ada taman permainan juga di sini.

Macam Snow White tak den hehehehehehhe
Geram sebab comel sangat
Happy sungguh depa berdua ni

Boleh buat aktiviti menangguk atau menyauk ikan di sini. Ikan yang kita dapat boleh bawa balik tau.

Ada juga hedgehog dan guinea pig yang memang buat hati rasa geram je hendak pegang.

Taman Rusa

Jangan lupa memberi makan rusa-rusa comel di sini ye. Rusa-rusa di sini dikhabarkan paling suka makan roti Gardenia. Terdapat dua (2) spesies rusa di sini. Semua rusa pun comel je di mata den ni hehehehee.

Haiwan Eksotik

Kepada sesiapa yang tidak geli boleh la pegang atau bergambar dengan ular sawa, iguana dan sebagainya. Den mulanya bergambar dengan iguana je tapi tiba-tiba adik manis tuh letakkan ular sawa atas bahu den huhuhuhuhu. 

Nampak macam berani tapi sebenarnya macam nak pecah jantung hehehehehe

Laman Itik

Di samping tengok itik-itik di sini, kita boleh ambil pakej untuk belajar membuat telur masin sendiri di mana telur masin yang kita buat ini boleh dibawa balik. Nanti den kongsikan resepi membuat telur masin di dalam post yang akan datang ye.

Demonstrasi membuat telur masin
Den memang ajak dia ke SFV supaya dia buat aktiviti ni hehehehehehe
Tadaaaaa....bersama telur masin yang dibuat sendiri. 10 hari lagi boleh makan.

Pavillion dan Eco-Bridge SFV

Ini tempat wajib bergambar terutamanya bagi mereka yang memang suka merakam detik indah di tempat yang instagramable. Jangan lupa bergambar di bawah deretan payung berwarna warni di sini. Berangan sebentar ala-ala Marry Poppins di situ.

Harus la diabadikan keratan akhbar muka depan The Sun pada 17 Mac 2022 di mana kelihatan gambar den di situ hehehehehehhehe.

Bagi la peluang fefeling artis

Juntaian daun dan pokok yang menghijau sememangnya menjadi latar belakang yang sangat menarik untuk kita bergambar.

Eco Bridge yang ada memang cantik. Siapa yang nak buat pre-wedding shooting di sini pun sesuai rasanya sebab pemandangan sangat cantik.

Sebenarnya hampir semua tempat di SFV adalah instagramable.

Suka sangat gambar ni
Hello adik manis mau tumpang tram saya ke

Rumah Kampung

Cantik betul ye rumah tradisional rumah kampung ini. Terasa seolah-olah hendak macam berlakon iklan Hari Raya Aidilfitri pun ada. 

Udah alang-alang ke sini macam tidak lengkap kalau tidak mengambil pakej untuk minum air kelapa muda segar, makan buah-buahan tempatan segar dan menikmati juadah gorengan yang panas-panas terutamanya keledek goreng dan NangChem goreng iaitu hybrid antara buah nangka dan cempedak.

Taman Herba

Jangan lupa berjalan-jalan di taman herba sebab ada lebih kurang 150 spesies herba ditanam di sini. Setiap pokok herba disertakan dengan nama dan kegunaannya untuk memudahkan kita mengenali pokok-pokok herba tersebut.

Mungkin pantun pecah kaca pecah gelas tuh diinspirasikan daripada herba ini
Kaktus sesudu namanya

Memetik Buah Jambu

Den sempat berangan menjadi petani moden berjaya bila diberi kesempatan untuk memetik buah jambu. Ada teknik yang sangat senang untuk memastikan buah jambu telah masak sebelum tersedia untuk dipetik. Bila kita jentik buah jambu tu dia akan berbunyi rangup. Macam mana bunyi rangup tu memang hanya akan kita tau bila telah belajar di lapangan.

Panas lit-lit oiiii
Di celah pokok jambu nama teknik fotografi ni heheheehhe
Ada gaya petani moden tak?

Yeay jambu yang dipetik boleh dibawa pulang

Jambu SFV ni sedap tau. Dia rangup yang berbeza dengan jambu lain di pasaran. Jambu tanpa biji ni memang sedap banget.

Rimbun Café

Sudah pastinya yang paling menarik adalah peluang untuk menjamu selera samada di Rimbun Café atau pelantar yang membolehkan kita menjamu selera sambil melihat keindahan pemandangan sekitar SFV.

Udah alang-alang ke SFV jangan lupa menjamu selera makan tengahari di Rimbun Café. Apa yang istimewa tentang sajian di sini? Semua lauk pauk kampung yang pastinya akan mengundang rasa hendak tambah nasi paling kurang dua (2) pinggan.

Jualan Pada Setiap Sabtu dan Ahad

Kalau korang datang hari Sabtu dan Ahad kan, bukan sahaja boleh beli pelbagai jenis buah-buahan tempatan tetapi boleh juga membeli anak-anak pokok, benih sayuran, baja kompos dan sulur nanas. Korang tau tak nanas mengambil masa 21 bulan daripada semaian hingga boleh dituai. Lama kan?

Ada banyak lagi tau aktiviti yang ditawarkan macam belajar menoreh getah dan memetik nenas dengan bayaran tertentu. Ada juga aktiviti rekreasi air seperti basikal air dan paddle boat di Jeti Keranji.

CEO PKPS (bertopi) sedang menerangkan tentang pelbagai program menarik yang terdapat di SFV

Korang boleh tengok laman sesawang SFV untuk dapatkan maklumat terkini tentang pakej yang ada ye.

Pakej-Pakej Yang Ditawarkan

1. Pakej Lawatan Ladang

Ada beberapa pakej yang korang boleh pilih kalau datang ke SFV ni. Bukan selalu kita datang kan? Jadinya apa salahnya memilih pakej yang akan memberikan kita keriangan yang berganda begitu. 

Harga setiap pakej in sya Allah berbaloi dengan kemudahan yang disediakan. Best kan kalau ada pakej boleh minum air kelapa dan makan buah-buahan segar? Kalau hendak lebih happening, boleh tambah aktiviti yang disediakan dengan bayaran tertentu. Semua harga berubah dari masa ke semasa ye. Jadi kena rajin tengok laman sesawang SFV ye.

Pakej Dewasa Domestik bermula dari RM21

Pakej Pelajar bermula dari RM15

Pakej Warga Emas bermula dari RM17

2. Pakej Kumpulan

Untuk pakej kumpulan tidak kisah keluarga, sahabat, pejabat, rakan perniagaan dan sebagainya, terdapat pelbagai pakej yang disediakan untuk memenuhi keperluan semua seperti pakej garden wedding, seminar, bengkel, latihan atau kursus, team building, hari keluarga dan berkhemah.

Macam best je kan kalau antara program hari keluarga adalah pertandingan memetik buah jambu dalam tempoh 15 minit. Pasti banyak gelak ketawa yang akhirnya menjadi kenangan manis semua.

Kalau buat event samada majlis nikah, bersanding atau bertunang di sini, boleh pertimbangkan untuk ambil pakej Warnasari Aspirasi Tari Seni & Budaya. Memang lemah gemalai dan berseni tarian mereka. 

Kepada mereka yang datang dalam kumpulan yang ramai juga boleh berhubung dengan SFV bagi menempah tarian oleh Warnasari sebagai salah satu agenda program yang dirancang.


Aktiviti Akan Datang

SFV sedang di dalam perancangan untuk menyediakan tapak glamping dan berkhemah di sini. Macam best kan? Den tidak minat berkhemah tetapi glamping itu macam menarik banget. Kalau telah siap tempat glamping ni, kita datang ramai-ramai ye.

Menarik tak aktiviti-aktiviti dan pakej-pakej yang ditawarkan di SFV ni?

Waktu Operasi

Waktu Operasi adalah setiap hari kecuali hari Jumaat ye dari 9 pagi hingga 4 petang

Sabtu - Khamis: 9.00 pagi - 4.00 petang

Jumaat: Tutup

Tips Datang ke SFV

1. Datang awal pagi. Kalau boleh jadi antara orang pertama yang menaiki tram sebab matahari belum naik tinggi pada 9 pagi dan kita boleh menghabiskan masa yang panjang di sini.

2. Bawa topi dan air mineral. Kalau terlupa bawa topi, boleh je beli topi yang dijual di sini.

3. Pakaian yang menyerap peluh sebab bila cuaca panas terik, memang jenuh kalau kita pakai baju yang rambu ramba. Pasti berpeluh ketiak.

4. Kasut yang selesa sebab walaupun kita naik tram, kita juga akan berjalan ke hulu ke hilir setiap kali sampai di sesuatu tempat tarikan.

Pematuhan SOP

SFV sememangnya menitikberatkan pematuhan SOP kepada semua pengunjung yang datang dalam tempoh endemik Covid19 ini di mana semua pengunjung diwajibkan memakai mask, menjaga jarak 1-meter dan sanitizer serta sabun disediakan di semua tempat tarikan. Hanya 400 pengunjung dibenarkan masuk setiap hari ke SFV. Orang dewasa sudah tentu hanya yang lengkap vaksin dibenarkan masuk. Anak-anak mesti datang bersama orang dewasa yang telah divaksinasi penuh.

Sesiapa yang mencari tempat untuk berhibur sambil belajar untuk kanak-kanak sekolah, hendak berbincang tentang rancangan perniagaan sambil menikmati kehijauan ladang dan sebagainya, boleh menghubungi SFV di pautan berikut:

Laman sesawang: https://selangorfruitvalley.my/ 

Facebook: https://www.facebook.com/selangorfruitsvalley/ 

Instagram: https://www.instagram.com/selangorfruitvalley/ 

Telefon: 6012-3432971, 012-3445033

Email: support@pkps.gov.my atau selangorfruitsvalley@gmail.com

Kalau pelawat datang SFV pada masa cuaca cantik iaitu panas terik, memang boleh melawat semua tempat tarikan di SFV seperti ladang buah-buahan dan sayur-sayuran, eco bridge, pavilion, laman mini, laman rumah kampung, taman rusa, taman arnab, taman herba dan rempah ratus, kelulut valley, jeti keranji, taman orkid dan lain-lain.

Jangan lupa singgah ke booth menjual pelbagai cenderahati menarik untuk dibawa pulang sebagai kenangan ye. Untuk emak-emak, apa yang pasti akan diborong mestilah buah-buahan tempatan yang dijual di situ.

In sya Allah bila berpeluang ke sini lagi, den hendak beli longan Brazil yang merupakan kacukan buah longan, laici dan durian (rupa seperti longan, isi seperti laici dan rasa seperti durian) ciku mega yang beratnya boleh mencecah 600-gram sebiji, NangChem, jambu tanpa biji, kelapa mataq bewarna kuning dan macam-macam lagi hehehehehhe.

Jom kita beramai-ramai ke Selangor Fruit Valley. Jom pusing Selangor dulu.

0 Comments