Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Penulisan ini adalah satu penulisan panjang berjela yang membosankan.

Den dan perkara-perkara berkaitan motivasi dan self-help tidak kisah la buku ke, seminar ke, ceramah ke, dan sebagainya adalah seumpama musuh tradisi yang tidak akan pernah berjumpa titik perdamaian begitu. Kalau den terjebak dengan perkara-perkara motivasi ini 90% daripadanya adalah disebabkan oleh arahan pengurusan tempat kerja den untuk wajib hadir begitu.

Baru-baru ini semasa di dalam tempoh PKP, pejabat den ada menganjurkan satu ceramah motivasi tentang tetap bersemangat bekerja dari rumah macam tuh. Disebabkan kehadiran direkodkan untuk ceramah ini, makanya den dengar la juganya ceramah sambil makan nasi goreng cili kering. Dalam pada den membaca sinopsis beberapa KDrama semasa ceramah tersebut dan sedikit kecewa kerana Lee Min Ki tidak dapat berlakon KDrama yang mantap, den terkesima sekejap sebab ada beberapa perkara di dalam ceramah itu yang kedengarannya seperti terkait dengan Feeling is Prayer dan Law of Attraction yang telah diberitahu oleh beberapa tokoh agama sebagai bercanggah dengan Al-Quran dan hadis.

Den pernah menghadiri kursus ESQ 165 sebanyak dua (2) kali pada 2009 atau 2010 kalau tidak silap kerana mungkin pengurusan tertinggi merasakan den perlu dimuhasabahkan diri kerana terlalu banyak membangkang di pejabat tuh ha hehehehehe. Untuk pengetahuan semua, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengharamkan program ESQ 165 pada tahun 2010 kerana ada silibusnya yang menyeleweng dari pegangan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Masa kursus ESQ 165 tuh, bila penceramah cakap pasal kalimah syahadah triple one tuh, den dah macam terkebil-kebil terfikir kenapa tidak pernah tau pun pasal perkara ni, nampak sangat lagho tahap gaban macam tuh. Banyak lagi cerita tentang program motivasi yang den pernah hadir yang modulnya terasa pelik dan musykil tapi sudah diarahkan, kita pergi je la macam tuh.

Den juga pernah pergi satu kursus motivasi disebabkan ada promosi tiket RM50. Kebiasaannya kursus ini bayarannya ribu riban. Ada satu sesi itu den terkesima sebab situasinya sudah macam kultus pula jadinya. Suasana den pergi konsert pun tidak mencemaskan macam den pergi ke kursus tersebut. Udah macam KDrama Save Me di mana walaupun Woo Do-hwan sangat keren sekali tetapi kultus itu menakutkan. 

Perkara penting bagi muslim adalah perlu diingatkan tentang agama Islam adalah mengimani bahawa Islam adalah agama yang telah lengkap sempurna. Islam telah mengajar segala keperluan keberagamaan dengan lengkap.”

Sekali pandang kulit buku ni macam buku The Secret oleh Rhonda Bryne yang pernah meledak di pasaran satu ketika dulu di mana kebanyakan ahli motivasi menyarankan untuk membacanya.

Buku ini sebenarnya sangat perlu dibaca oleh mereka yang berminat dengan perkara berkaitan motivasi dan self-help supaya di dalam kita berusaha untuk meningkatkan dan memaksimakan potensi diri untuk kehidupan yang lebih cemerlang dan sebagainya, kita tidak akan terpesong secara halus yang akhirnya boleh membawa kepada masalah akidah yang kita tidak perasan.

Buku ini juga perlu dibaca oleh mereka yang bertanggungjawab terhadap pengurusan manusia dan latihan bagi mana-mana agensi kerajaan dan institusi swasta kerana mereka ini yang membuat keputusan tentang kursus motivasi yang perlu dihadiri oleh kakitangan. Mohon semakan dan penelitian terhadap kursus motivasi yang berada di dalam senarai pendek supaya tidak terhantar kakitangan ke kursus motivasi yang ada silibus meragukan lagi terkait dengan akidah secara tidak langsung.

Buku ini juga perlu dibaca oleh mereka yang terlibat dengan perniagaan dan keusahawanan agak tidak termenerapkan mana-mana komponen dalam Gerakan New Age di dalam usaha kita untuk meningkatkan peluang dan keuntungan serta membentuk networking.

10 Perkara Yang Dihuraikan Di Dalam Buku Ini

Ada pelbagai perkara yang dihuraikan di dalam buku setebal 307 muka surat ini tetapi den akan cuba berikan ulasan tentang beberapa topik sahaja.

1. Bab 1 hingga Bab 3 adalah topik yang paling berat untuk den sebab menceritakan sejarah asal usul kewujudan Gerakan New Age yang bermula sejak zaman dahulu kala yang akhirnya meresap masuk ke dalam kehidupan orang Islam melalui pelbagai platform. Jargon yang digunakan juga agak berbelit lidah untuk menyebutnya macam Theosophical Society, Panteisme, Panentisme, Neo Platonisme, Hermetisisme dan lain-lain tetapi in sya Allah penerangannya boleh difahami selepas dibaca berulang kali. Perkara berkaitan akidah ini memang berat. Memang perlu ambil masa untuk baca dengan hati.

2. Bab 4 iaitu Kepercayaan dan Amalan New Age mengulas tentang perkara berkaitan Law of Attraction dan Affirmation di mana ada kursus/bengkel/ceramah motivasi di pelbagai media sosial seperti facebook, youtube atau instagram beberapa orang penceramah atau pakar motivasi kebiasaannya akan selitkan perkara-perkara berkaitan Law of Attraction dan Affirmation supaya kita dapat memfokuskan kepada pemikiran positif dan membuang jauh perkara negatif di dalam hidup supaya kita boleh mencapai apa sahaja kejayaan dan hasrat yang kita kehendaki.

Aura, chakra, zodiak dan numerologi juga antara perkara dibincangkan di dalam buku ini. Pada 2015 kalau tidak silap, terdapat satu seminar untuk mengenal potensi diri melalui tarikh lahir ke apa di Selangor. Den ternampak bunting tentang seminar ini semasa sedang berhenti di lampu isyarat. Harga seminar untuk seorang adalah sama harganya dengan 2-gram gold bar.

3. Senaman Yoga menjadi satu topik kontroversi pada 2009 apabila fatwa daripada beberapa Negeri mengharamkannya seperti Majlis Fatwa Kebangsaan (Wilayah Persekutuan) dan Jawatankuasa Fatwa Selangor. Mufti Perlis pada ketika itu, mencadangkan supaya Majlis Fatwa tidak terlalu kaku dalam mengeluarkan fatwa dan memberi alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga untuk kebaikan kesihatan. Den tidak pasti apa kesudahan isu yoga ini. Den sudah tentu tidak pernah buat yoga sebab kelenturan badan terpleot tidak boleh buat apa posisi yoga pun tetapi disebabkan ada fatwa tentang perkara ini, eloklah den berzumba sahaja begitu.

4. Perjalanan Roh ini memang ada dalam beberapa kursus motivasi. Den tidak ingat kursus motivasi yang mana tetapi ada kursus yang suruh pejam mata, bayangkan kita bercakap dengan the future or the past us macam tuh sambil diiringi muzik oleh Kitaro. Kalau the past us, ianya lebih memfokus kepada kekesalan bagi perkara yang kita pernah lakukan. Kita perlu berdamai dengan masa silam kita supaya kita boleh move on dan berjaya begitu. Kalau the future us, lebih kepada kejayaan yang kita hendak capai dan semangat untuk memaksimakan potensi diri. Den selalu risau den tertidur bila pejam-pejam mata ni lagi-lagi bila sesi ini dibuat selepas waktu makan tengahari. Tetapi memang ada peserta seminar yang bersungguh-sungguh menghayati sesi ini sampai menangis-nangis. Ini den tau sebab den buka mata tengok keadaan sekeliling sebab den tidak menghayati sesi ini. Udah den terasa seperti “Ahhhh damn! Nampak sangat aku ini tidak muhasabah diri sebab tidak menangis macam depa ini semua”. Makanya marilah kita pejamkan mata dan berharap sesi ini segera berakhir begitu.

5. Neuro Linguistic Programming (NLP). Rasanya beberapa tahun kebelakangan ini, NLP semakin mendapat tempat di dalam masyarakat Malaysia. Ada beberapa orang kawan den yang telah mengikuti kursus berteraskan NLP. NLP ini menggunakan pseudosaintifik dan kebanyakan asasnya adalah merupakan psikologi palsu.

6. Muzik New Age. Kenapa The Beatles dikatakan terlibat dengan muzik New Age? Boleh baca tentang ini di mukasurat 196 - 198. Baru la den tau selama ni den dok dengar muzik New Age melalui original soundtrack (OST) Braveheart (Celtic), Kitaro dan Yanni. Kenny G tidak termasuk pula dalam senarai ini walaupun dia seangkatan dengan Yanni. Muzik Kitaro sememangnya antara muzik yang selalu sangat digunakan di dalam mana-mana program motivasi. Bila baca di Wikipedia baru la den tau yang memang muzik Kitaro dikategorikan sebagai muzik New Age. Den dengar muzik dia sebab best dekat telinga den je. Memang den tidak pernah ambil tau ianya muzik New Age ke idok huhuhuhuhu. Macam mana kan? Sudah la den memang suka banget muzik Kitaro dan OST Braveheart ni. Kenapa den tidak pernah tahu yang Kitaro pernah buat konsert di Malaysia pada 24 Disember 2017?

7. Filem dan Drama Berteraskan New Age. Banyak rupanya filem dan drama berteraskan New Age ni yang den tidak pernah ambil tahu pun. Den tengok Star Wars sebab Darth Vader. Den tengok Matrix sebab Keanu Reeves. Filem terbitan Marvel yang nampak jelas ada unsur New Age untuk den adalah Dr Strange. Hmmmm….

8. Tokoh New Age Self Help. Ada ramai tokoh New Age Self Help yang disebut di dalam buku ini yang den pernah terbaca tajuk buku-buku mereka yang popular yang sampai sekarang masih disebut-sebut oleh beberapa komuniti buku dan sememangnya menjadi bacaan beberapa pakar motivasi Malaysia seperti Napoleon Hill, Deepak Chopra, Tony Robbins dan Rhonda Bryne. Den memang tidak pernah minat buku motivasi jadinya den memang tidak pernah baca buku-buku mereka ni.

Den pernah membaca beberapa buah buku bertemakan Chicken Soup for the Soul. Tidak sangka penulisnya, Jack Canfield adalah merupakan salah seorang tokoh New Age Self Help.

Buku The Monk Who Sold His Ferrari oleh Robin Sharma memang membawa konsep New Age nih ha. Den membaca buku ini sebab musykil gila apa yang best sangat sampai dipromosikan antara buku terbaik yang perlu dibaca di dalam hidup. Den tidak akan baca lagi buku ini bukan sebab dia New Age tapi sebab buku genre sebegini memang tidak pernah serasi dengan otak den.

9. Agama New Age. Dalam lapan (8) agama yang dihuraikan di dalam buku ini, hanya ada dua (2) agama yang den pernah tahu iaitu Scientology sebab Tom Cruise dan John Travolta, dan Aum Shinrikyo sebab kes pengikutnya melepaskan gas sarin di keretapi bawah tanah Tokyo pada 1995. Pelik betul agak kan si Tom Cruise tuh percaya manusia berasal daripada makhluk asing. Memang sajak la dia berlakon War of The Worlds ye.

10. Kritikan Pengislamisasian New Age. Ini bab yang paling penting bagi den sebab diterangkan kenapa ajaran Gerakan New Age menyimpang daripada akidah Islam.

Contohnya, Law of Attraction mengatakan bahawa:

i) takdir, rezeki, manfaat dan mudharat adalah ditentukan oleh manusia sendiri. Ini bertentangan dengan Qada’ dan Qadar.

ii) kebaikan dan keburukan yang menimpa seseorang adalah hasil fikirannya sendiri. Ini bertentangan dengan sesuatu kebaikan atau keburukan adalah dengan kuasa, izin dan kehendak Allah SWT.

Ada banyak lagi huraian tentang menilik nasib, meditasi, reiki, astral projection dan lain-lain yang diulas di dalam bahagian ini.

Gerakan New Age mengajak kepada pluralisme agama, fahaman cinta kepada semua hidupan tanpa batas, universal onesses dan mengajar sikap toksik positif kepada semua manusia dengan ajaran Law of Attraction sehingga kesannya menghancurkan Bara’ dalam beragama”.

Huraian bagi Gerakan New Age yang bertapak di dalam beberapa program motivasi di Malaysia oleh beberapa orang pakar motivasi perlu dibaca dengan fikiran yang terbuka dan berlapang dada kerana sesiapa yang pernah membaca bayan linnas, ulasan-ulasan berkaitan sesetengah silibus program motivasi, teguran tentang sesuatu perkara di media sosial boleh faham apa yang cuba disampaikan.

Huraian tentang ucapan cinta tanpa batas yang digunakan secara melampaui batas (ghuluw) seperti “Allah Sayang” di muka surat 303 memerlukan kita baca dengan hati dan muhasabah diri.

Ada seorang ahli motivasi yang menjadi idola emak ayah kita yang mungkin menerapkan pendekatan NLP, Law of Attraction, Feeling is Prayer dan Affirmation di dalam sembang-sembang, ceramah dan juga buku beliau.

Buku ini sememangnya buku yang berat intipatinya untuk dibaca tetapi perlu dibaca oleh semua orang supaya kita dapat berhati-hati daripada terjebak dengan perkara yang terkait dengan akidah.

Den akhiri resensi buku ini dengan pautan Fatwa JAKIM tentang ESQ 165 pada 2010 dan Bayan Linnas tentang silibus Metamorphosis pada 2019 untuk pengajaran kita semua.

Fatwa ialah suatu pandangan sesuatu hukum Islam yang dikeluarkan oleh seorang mufti bertauliah.

Bayan Linnas adalah siri keterangan isu semasa bagi memandu umat Islam ke arah menghayati akidah dan syariat Islam dengan manhaj Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah.

Fatwa JAKIM tentang ESQ pada 2010:

http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/12092

Bayan Linnas tentang Metamorphosis 2019: https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3698-bayan-linnas-siri-ke-134

Kenapa den rasa Gerakan New Age yang meresap masuk ke kursus motivasi adalah lebih memudaratkan berbanding konsert?

Bagi den yang memang suka muzik, yang pernah pergi konsert sejak zaman kumpulan rock kapak menyanyi di Pesta Port Dickson, konsert adalah terang-terangan perkara lagho.

Setiap kali ada penyanyi luar hendak buat konsert di Malaysia, kita akan nampak beberapa bantahan daripada beberapa pihak. Siapa ingat konsert Linkin Park dikenakan syarat supaya kumpulan tersebut tidak menjerit-jerit bila menyanyi? Kalau konsert bagi artis yang memuja syaitan dan sebagainya, bukan tokoh ilmuan Islam je yang bantah ye. Konsert Devouror pernah dibatalkan selepas mendapat bantahan Majlis Gereja Malaysia sebab ada lagu-lagunya mengandungi lirik ‘anti-Kristian dan pro-Setan’.

Ramai orang tahu yang pergi konsert adalah perkara yang lagho. Tiada dakwa dakwi di situ.

Tetapi berapa ramai orang yang tahu atau sedar mereka telah terjebak dengan beberapa komponen di dalam Gerakan New Age di dalam kursus-kursus motivasi yang dihadiri yang mana berkemungkinan memberi kesan kepada akidah secara tidak langsung sama ada kita perasan atau tidak?

Tidak pernah sekalipun sesiapa pesan kepada den supaya berhati-hati dengan kursus motivasi kot ada ajarannya yang menyimpang dan terpesong.

Selama ini apabila den pergi mana-mana kursus motivasi, den selalu rasa a bit off apabila ada silibusnya mempunyai unsur-unsur Gerakan New Age tetapi den selalu terfikir macam ‘tak kan la JAKIM atau badan berwajib agama tidak semak dulu kan silibus kursus-kursus motivasi ni kan? Mesti depa dah dapat approval ni. Takkan la pejabat den hantar den pergi kursus motivasi ni kalau tiada endorsement daripada bahan berwajib agama’.

Lepas itu yang menyampaikan kursus motivasi pula berceramah sambil memberikan justifikasi sesuatu silibus menggunakan ayat Al-Quran dan hadis. Den yang kadang-kadang lupa makna bacaan dalam solat nih tidak terfikir untuk sangsi samada ada ayat Al-Quran dan hadis yang dipetik itu diambil sebahagian sahaja atau diterjemahkan dengan tidak tepat dan sebagainya.

Orang biasa macam den yang ingat-ingat lupa tentang sejarah pembukaan Kota Mekah dan Perjanjian Hudaibiyah mana la hendak perasan kalau penceramah menokok tambah atau mengadakan sirah yang tiada.

Cumanya disebabkan den memang tidak pernah berminat dengan perkara berkaitan motivasi, den tidak pernah ikut apa yang pakar motivasi cadangkan untuk dijadikan amalan harian supaya hidup lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kesimpulannya, untuk orang yang lagho macam den ini adalah lebih baik den berhati-hati dan menghindarkan diri daripada menghadiri program motivasi yang mempunyai silibus diragui dan pelik yang akhirnya terkait dengan kemungkinan akidah terpesong secara halus. Sudahlah mahal pun iya juga. Kepada PSMI pejabat den, sudah-sudah la menghantar den ke mana-mana kursus motivasi lagi sebab den pun udah hendak bersara tidak lama lagi. Hantar je la budak-budak muda ke kursus motivasi yang tidak merepek because they are our nation’s future.

Lebih baik den pergi konsert Helloween atau Metallica yang sudah pasti lagho tetapi tidak melibatkan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan terpesong akidah secara tidak langsung. We might sing and dance at the concert, but we will never do any astral projection or reborn/rebirth ritual. Konsert Anuar Zain pun okay juga. Tetiber.

Resensi buku ini adalah daripada hemat den sebagai rakyat marhaein yang biasa-biasa. Kalau hendak membaca resensi buku ini daripada sudut ilmiah, boleh tengok FB mereka yang ada discreenshot oleh penulis buku ini di FB beliau ye.

3 Comments

  1. Bagusnya buku ni banyak huraiannya.. dgn membaca kita boleh tambah ilmu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sorry Nina. Blog KSarie bermasalah lately tidak boleh nak komen tak tau kenapa. Haah buku memang antara medium untuk menambah ilmu cuma nak cari masa nak membaca tuh yang agak jenuh sikit huhuhuhu

      Delete
  2. Terima kasih atas penulisan. Saya dapat ilmu baru harini. 😊😊

    ReplyDelete