Resensi Buku Ustazah Basikal Nekad ke Makkah oleh Ahmad Isa
“Subhanallah! Benarlah duit atau rezeki bukanlah datang semata-mata dari asbab kita sendiri, walaupun kita dituntut untuk berusaha. Rezeki datang daripada Allah Taala Yang Maha Kaya dan Pemilik Rezeki kita. Allah boleh beri bila-bila masa apa yang Dia suka”
Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Buku Ustazah Basikal yang diabadikan di dalam Buku Siri 1 dan Buku Siri 2 merakamkan suka duka, cabaran, pahit manis, dsb perjalanan suami isteri, Ahmad Isa (seorang arkitek yang berhenti kerja sebab hendak mengembara) dan isterinya, Ustazah Adila yang merupakan guru Al-Quran menjelajah 14 negara di dalam misi mereka untuk berbasikal ke Mekah dari Malaysia.
Buku Siri 1 ini berkisarkan tentang pengembaraan mereka yang bermula dari Malaysia - Thailand - Myanmar - India - Nepal - India - Pakistan.
Den seolah-olah berbasikal sekali dengan mereka apabila membaca buku ini kerana cara penceritaan dengan gaya penulisan yang mudah difahami dan sangat santai yang sekali sekala disertai dengan ayat dan bahasa pasar ini.
Suami isteri ini memulakan perjalanan mereka dari Malaysia dengan muatan barang 100 kg dengan berbekalkan RM1,900.
Backpacking
Backpacking menaiki basikal ke seantero tempat, menolak basikal di dalam selut, tidur di mana-mana yang sempat (masjid, surau, pacakkan khemah tepi sawah, kebun, kuil, tokong, dewan sekolah, sebelah balai polis, di atas bumbung hotel, tidur di stesen keretapi, dsb), mandi di tandas, makan apa yang ada, angkat naik turun basikal dari trak, bas, lori dan keretapi, cabaran solat di beberapa kawasan, masuk hospital tanpa insuran, berdepan dengan tanah runtuh, urusan imigresen, berurusan dengan polis dan tentera, signal telefon/internet tiada untuk maklumkan keadaan terkini kepada keluarga yang menyebabkan kedutaan Malaysia pun pening, berjumpa scammers, tayar basikal pancit sememangnya adalah asam garam berbasikal jarak jauh, dsb memang sangat adventure bagi den.
Mereka melalui Ramadhan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha (siap buat korban di Pakistan) di perantauan semasa di dalam perjalanan mereka ini.
Walaupun bukan semua kembaranya menaiki basikal atas sebab faktor jarak perjalanan, tempoh masa visa yang terhad, perkara yang tidak dapat dielakkan seperti sempadan Myanmar dan India ditutup kerana ada rusuhan (terpaksa naik kapal terbang) dsb tetap perjalanan mereka sangat menarik untuk dibaca.
Den memang tiada pengalaman backpacking tapi pengalaman pernah panjat Gunung Ledang 26 tahun lepas + perlu hadir beberapa program yang melibatkan tema ala-ala camping dan aktiviti lasak pun den dah tidak beberapa hendak betah. Bila umur dah 40an ni lagi la mendambakan trip yang santai, toilet dan tempat tidur yang selesa. Setakat ini memang tidak terjangkau akal fikiran hendak backpacking tapi tak tau la esok-esok terjebak pula secara tiba-tiba.
Rezeki
Perjalanan mereka membawa kita bermuhasabah diri tentang rezeki yang Allah berikan di dalam pelbagai bentuk seperti berjumpa dengan orang yang baik-baik, kakitangan kedutaan yang prihatin, bertemu dengan orang yang sangat arif tentang sesuatu perkara di saat keadaan mendesak dan mendebarkan (pertemuan mereka bersama sekumpulan doktor yang bercuti di kala Adila diserang Acute Mountain Sickness, AMS), kerajaan Pakistan bayarkan bil hospital Adila, tentera Pakistan mengiringi perjalanan mereka selama 3 hari kerana ingin menjamin keselamatan mereka, dsb.
Silaturahim dengan mereka yang berlainan bangsa di negara yang berbeza.
Mereka dijemput untuk bermalam di rumah orang yang ditemui (siap ada yang berebut agar pasangan suami isteri tidur di rumah mereka). Bab belanja makan memang selalu sangat diterima. Sikap meraikan tetamu walaupun diri sendiri serba kekurangan. Ada yang teman mereka berkayuh sebentar. Ada yang bayarkan tempat penginapan mereka. Ada yang beri duit. Yang beri barang kemas pun ada.
Ada pelbagai kisah lagi tentang rezeki yang tidak disangka-sangka.
Ini adalah sebenarnya magis dan intipati buku ini.
Sebagaimana pesanan penulis beberapa kali di dalam buku ini ‘jangan google tempat ini sebab nanti hati terkinja-kinja hendak ke sini’ sememangnya adalah benar terutamanya bagi beberapa tempat di Pakistan seperti Tasik Saiful Muluk, Naran, Naran, Karakoram Highway, Doesai Park, Skardu, Tasik Sadpara, Skardu, Hunza Valley dan Fairy Meadow. Sumpah cantik banget. Google sekali Nagarkot, Nepal ye.
Catatan atau Tips Perjalanan
Ada banyak sebenarnya pengajaran atau tips pengembaraan di dalam buku ini. Den hanya kongsikan beberapa perkara sahaja ye.
1. Berbuat pada kepada semua makhluk termasuk budak-budak dan kucing. Sentiasa sediakan gula-gula untuk disedekahkan kepada budak-budak.
2. Bersangka baik kepada semua orang yang dijumpai tetapi tetap berwaspada.
3. Sentiasa sedekah duit kepada Tabung Masjid terutamanya apabila kita gunakan kemudahan di masjid seperti tumpang caj handphone, tumpang mandi, dsb;
4. Belajar beberapa perkataan penting di dalam bahasa negara yang kita pergi supaya dapat memudahkan urusan dan merapatkan silaturahim;
5. Pelancong hanya dibenarkan tidur di hotel di Myanmar;
6. Google Translate Voice;
7. Poskad adalah rahsia mereka menjana pendapatan sepanjang pengembaraan (poskad RM5 ada yang dibeli pada harga sehingga RM2,000 sekeping oleh penduduk Malaysia).
Berbaloi Tak Baca Buku Ini?
Disebabkan den baru habis baca buku Around The World in 80 Trains oleh Monisha Rajesh (yang tidak tahu bila den hendak buat resensinya huhuhuhu), makanya secara tidak langsung memang terbanding juga gaya penulisan dan penceritaan setiap route dan tempat yang mereka pergi.
Walaupun gaya penulisan Ustazah Basikal ini ala-ala macam bercerita yang sangat santai dan ada bahagian yang mendatar termasuk tiada maklumat tentang sejarah atau keunikan sesuatu tempat, budaya, makanan, pakaian, orang, dsb yang dimasukkan di dalam buku ini, tetap juga buku ini menarik kerana pengembaraan mereka itu sendiri dan hubungan silaturahim yang mereka jalinkan dengan hampir setiap orang yang ditemui di dalam tempoh yang singkat.
Kalau diceritakan dengan lebih terperinci tentang Kem Pelarian Rohingya yang dilawat, kepadatan penduduk India, keenakan briyani di India, momo makanan terkenal di Nepal (momo goreng dan momo rebus), gelabi di India, pemandangan di Kathmandu dan keindahan gunung-ganang di Nepal, kecantikan Nagarkot yang boleh nampak view Gunung Everest, sayur-sayuran yang besar seperti cendawan di Nepal, dsb pasti buku ini akan jadi lebih menarik.
Benarlah kata teman den si ulat buku, Kak Noris yang meminta den membaca buku ini, sekiranya buku ini hendak memberi penerangan terperinci tentang latar belakang, sejarah atau keunikan sesuatu tempat yang mereka pergi, singgah, bermalam dan sebagainya, pengembaraan mereka tidak dapat diabadikan di dalam dua (2) buku sahaja. Paling kurang perlukan empat (4) buah buku untuk melengkapkan momen perjalanan suami isteri ini.
In sya Allah bila den sudah berjaya membaca Buku Siri 2 nanti yang entah bila la tuh hehehehehehe, den akan cuba buat resensinya apabila kerajinan ye.
Korang boleh dapatkan Buku Siri 1 dan Siri 2 ini daripada Shopee.
2 Comments
Kagum dgn org yg mengarang buku ni. Banyak manfaatnya dan teladan utk pembaca. Rezeki Allah luas
ReplyDeleteMemang adventure sungguh perjalanan diaorang. Bukan calang-calang orang boleh buat ni
Delete