Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Siapa yang kenal den pasti tahu den bukan termasuk dalam golongan orang yang rajin memasak. Kalau den memasak pun resepinya mestilah resepi yang paling mudah, cepat dan tidak melibatkan banyak bahan sebab I am that kind of person.

Hari ini den hendak kongsikan resepi yang kalau ikut terma den adalah senang bagai hendak pengsan begitu.

Bahan

1. 200 gram (atau semangkuk sederhana) lala atau spesies siput bercangkerang lain yang sesuai (siput retak seribu, pepahat, remis, siput buluh, kepah, dsb)

2. 10 batang cili padi (kalau tidak tahan pedas, 5 batang cili padi mencukupi)

3. 5 ulas bawang putih

4. 2 batang serai diketuk

5. 2 inci halia dipotong memanjang

6. Sedikit stok ikan bilik Knorr (jika perlu)

7. Garam secukup rasa

8. Setengah cawan kecil air

Cara Memasak

1. Cili padi dan bawang putih ditumbuk atau dikisar kasar.

2. Tumis cili padi dan bawang putih.

3. Apabila telah naik bau, masukkan lala dan kacau rata.

4. Apabila telah sebati, masukkan halia dan serai.

5. Masukkan kiub ikan bilis Knorr (ini optional) dan garam.

6. Masukkan air, kacau rata dan tutup api selepas 2,3 minit.

7. Siap untuk dihidangkan.

Senang dan ringkas sangat kan?

Tidak sampai 10 minit siap satu hidangan. Simple dan ringkas macam ini pun jarang benar den hendak memasak kan? Macam mana la nak jadi macam Julia Child tuh ha.

Hidangan dengan kuantiti macam ni sesuai untuk 3-4 orang makan bersama satu lauk lain samada sayur atau hidangan lain.

Hidangan macam ni den jarang masak sebab den dengan si bongsu 6 tahun tuh je yang makan (budak bertuah seorang ini memang semua dimakannya kecuali durian). Buong makan juga tapi sedikit sebab dia allergic to seafoods. Anak sulung den lagi la tidak makan seafoods, dia hanya makan daging dan ayam. Boleh paksa dia makan tapi nanti tengok muka dia terkulat-kulat hendak menelan seafoods tuh kesian la pula.

Selamat mencuba hidangan paling senang dan ringkas untuk disediakan.

0 Comments