"Apa jua amalan yang dilakukan, kita faham dan tahu ia juga adalah kurniaan Allah, bukan usaha kita"

Buku ini telah lama dibeli dalam 3, 4 tahun tetapi tidak terbaca-baca kerana takut kalau isi kandungannya akan menyebabkan den terasa kengerian sebab den adalah dalam kategori orang biasa-biasa yang banyak berdosa.

Benarlah kata pepatah don't judge the book by its cover atau dengan kata-kata yang lebih tepat untuk buku ini adalah 'jangan menghakimi sesebuah buku berdasarkan tajuknya'. Alhamdulillah buku ini tidak mengerikan dan sesuai untuk orang biasa-biasa macam den.

Pengalaman penulis menunaikan ibadah fardhu Haji, rukun Islam yang kelima ini digarap dengan lenggok bahasa yang sangat mudah untuk difahami tetapi setiap penceritaannya mempunyai nasihat yang mendalam untuk pedoman dan pengajaran buat kita tetapi disampaikan secara santai dan tidak menjengkelkan (ha...ini penting untuk orang macam den yang sudah lah biasa-biasa cepat terasa hati pula).

Selalu kita dengar/cakap 'belum sampai seru' atau 'belum dapat jemputan' untuk ke Mekah tetapi di dalam buku ini ada nasihatnya tentang bagaimana hendak berusaha supaya untuk ada rezeki untuk dijemput atau diseru. Antaranya adalah sentiasa berdoa tanpa berputus asa setiap kali selepas solat agar dikurniakan rezeki untuk dijemput menjadi tetamu di Mekah.

Sebelum menunaikan ibadah Haji, penulis menasihatkan supaya kita sedaya upaya cuba:

1. bertaubat bersungguh-sungguh sebelum kita ke Mekah dan bukannya sampai di Mekah baru hendak bertaubat;

2. mempelajari aspek teknikal ibadah Haji dan membuat perbandingan antara Haji Ifrad, Tamattuk dan Qiran;

3. memahami tatacara dan rukun wajib haji dan umrah termasuk pantang larang semasa berihram;

4. bangun solat malam - taubat, tahajjud dan hajat; dsb.

Dalam banyak-banyak nasihat atau tips yang disampaikan di dalam buku ini, ada beberapa yang terlekat pada hati:

1. DOA, DOA, DOA

2. SABAR, SABAR, SABAR

3. ZIKIR, ZIKIR, ZIKIR

4. BERSEDEKAH - paling suka bab ini di dalam buku ini tentang membawa strepsil di dalam beg sepanjang masa semasa di Masjidil Haram untuk disedekahkan kepada mereka yang batuk dan sakit tekak.

4 pesanan ini bukan sahaja perlu dilaksanakan semasa hendak menunaikan haji tetapi perlu diaplikasikan di dalam kehidupan harian kita (kecuali strepsil di Masjidil Haram itu).

5. Belajar membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul. Ini ustazah Liyana selalu tekankan dalam kelas mengaji beliau.

6. Fokuskan kepada ibadah jangan sakan bershopping di Mekah (ini khusus untuk wanita yang kebanyakannya memang sinonim dengan aktiviti ini).

Di penghujung buku ini ada disertakan 12 doa yang diamalkan oleh penulis sebelum dan semasa menunaikan haji termasuk doa 'memohon hotel dan rakan sebilik yang istimewa, memohon perlindungan di Arafah, Muzdalifah dan Mina', dsb. Agak panjang untuk orang biasa-biasa seperti den yang kadang-kadang doa makan pun terlupa tetapi memang lengkap dan menusuk kalbu doa-doanya.

Doa 'Rabbi Yassir Wala Tuassir' ('Permudahkanlah kami Ya Allah, Permudahkanlah kami Ya Allah') diamalkan oleh penulis semasa menunaikan ibadah Haji.

Baca doa ini teringat amalan @diya.nadia yang sentiasa membaca doa 'Allahumma yassir wala tu’assir' ('Ya Allah Permudahkanlah urusanku. Jangan Engkau persulitkan) semasa beliau menunaikan umrah. Perjalanan beliau menunaikan umrah memang touching habis untuk den.

In sya Allah banyak pengajaran dan pembelajaran daripada buku ini yang bukan sahaja sesuai untuk mereka yang hendak menunaikan ibadah haji tetapi juga untuk kita perbaiki diri kita untuk menjadi lebih baik daripada semalam terutamanya di dalam menambahbaik amalan ibadah serta mempertingkatkan kualiti kehidupan seharian kita.

Sebagaimana pesanan penulis, cabaran sebenar menunaikan Haji adalah pelaksanaan secara istiqamah ibadah yang dibuat semasa Haji selepas pulang ke kehidupan harian iaitu berterusan mengamalkan solat jemaah, puasa sunat, qiamullail dan membaca Quran.

"Manusia tidak akan berjaya memasuki syurga dengan amalannya tetapi semata-mata dengan rahmat Allah".

Ayat ini tampak ringkas tapi begitu syahdu kepada diri den.

In sya Allah buku ini pada pendapat den adalah antara buku yang istimewa dan terbaik yang pernah den baca di mana nasihat untuk memperbaiki ibadah dan kehidupan harian diberikan secara bahasa mudah faham tetapi bisa menyentuh hati orang biasa-biasa seperti den.

314 mukasurat. 3 jam.

4 Comments

  1. Banyak tips yg dikongsikan oleh penulis yg PH amalkan sewaktu menjadi tetamu Allah 7 tahun lepas. Buku yg sangat bermanfaat, alhamdulillah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang terkesan dengan tips yang dikongsikan

      Delete
  2. semoga ada rezeki untuk ke sana nanti :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. In sya Allah semoga kita semua akan menjadi tetamu di sana nanti

      Delete