Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kalau pergi ke Bukit Bendera, sila singgah ke The Habitat paling tidak sekali seumur hidup sebab pemandangan menghijau sememangnya mengasyikkan di samping kita dapat bersenam secara tidak langsung sebab perlu berjalan dan menaiki tangga.

Singgah ke The Habitat maksudnya perlu habiskan masa paling kurang dua (2) jam di sini ye dengan bayaran tiket yang berbeza daripada bayaran tiket untuk menaiki Bukit Bendera.

Kalau diikutkan peta The Habitat ini seperti gambar di bawah terdapat lebih kurang 15 tempat menarik atau checkpoints tetapi kami hanya sempat berjalan ke Langur Way Canopy Walk, Langur Circle dan Curtis Crest Tree Top Walk sebab mengejar masa.

Kami melalukan juga kawasan Dusky Wing yang menempatkan buaian di mana kalau kita naik tuh boleh ala-ala fefeling Bawang Merah di dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah tetapi disebabkan ramai sungguh orang beratur hendak mengambil gambar di situ, kami batalkan sahaja la hasrat hati.

Terdapat juga beberapa kawasan yang ditutup untuk kerja-kerja baikpulih masa kami berada di sana.

Latar Belakang The Habitat

Sedikit cerita tentang The Habitat sebelum den kongsikan gambar yang sempat dirakamkan di sini.

The Habitat mula dibangunkan pada 2012 dan dibuka kepada orang ramai pada April 2017.

Curtis Crest Tree Top Walk

Yang pastinya kalau ke The Habitat jatuh wajib pergi ke Curtis Crest yang terletak lebih kurang 800 meter dari aras laut. Kalau tidak ke sini macam tidak jejak ke The Habitat begitu. Bila berada di Curtis Crest, yang merupakan titik tertinggi pemandangan yang boleh dicapai oleh orang awam di mana kita dapat melihat pemandangan Pulau Pinang termasuk Georgtown secara 360 darjah.

Bersama tour guide yang merupakan student practical dari universiti tempatan

Memang seronok dapat berada di tempat tinggi tengok pemandangan indah lagi-lagi kalau kita tidak gayat heheheheehe.

Sila pegang handphone korang betul-betul di sini dan berhati-hati semasa mengambil gambar sebab kalau terlepas handphonenya, seumpama kata Ramlah Ram dengan lagu Selamat Tinggal Romeo, terpaksa beli handphone baru jawabnya.

Langur Way Canopy Walk

Laluan sepanjang 230 meter dan berada 40 meter dari lantai hutan ini memberi peluang kepada kita menghayati keindahan hutan berumur 130 tahun.

Café on The Hill

Wajib singgah di sini selepas penat berjalan sebab café nya cozy dan welcoming sangat. Minum secawan kopi hipster sambil memandang kehijauan memang awesome. Harga makanannya memang harga pelancong tetapi kalau dah alang-alang sampai ke sini, perlu korbankan sedikit wang untuk mendapatkan pengalaman eating with a view sebab kita pun tidak tahu bila lagi kita akan sampai ke sini.

Terdapat pelbagai cenderahati yang dijual di sini tetapi den lebih tertarik kepada buku-buku yang merupakan salah satu cenderahati. Tidak sempat hendak belek pun buku-buku yang ada sebab mengejar masa huhuhuhu.

Paling Kurang Setengah Hari

Sekiranya hendak betul-betul menghayati keindahan alam semulajadi di The Habitat, pergi kesemua checkpoints yang ada, berjaya di natural trails, membaca setiap baris maklumat yang terdapat di sini, mengambil gambar di sana sini terutamanya di Curtis Crest, menaiki buaian sambil menyanyi lagu ‘laju laju buaiku laju, pohon beringin tegaknya tinggi’, memanjat pokok dan sebagainya, bersantai makan dan minum di café serta memilih barang di kedai cenderahati, paling tidak memang kena habiskan masa setengah hari di sini.

Kalau hendak berjalan berpegangan tangan bersama orang tersayang sambil melihat matahari terbenam, kena booking tiket lain untuk aktiviti sunset walk ye.

The Habitat Rainforest Explorer Programme

Terdapat 5 modul pendidikan berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang disediakan mengikut kesesuaian umur bermula dari tahap tadika sehingga pengajian tertinggi.

5 modul yang ditawarkan adalah My Rainforest, Life in the Tropical Rainforest I and II, Practical Fieldwork (Soil Ecology) dan Practical Field Survey (Plant Population Ecology).

Jadinya sesiapa pelajar pusat pengajian tinggi yang mengambil bidang perhutanan, botani dan seangkatan dengannya boleh pertimbangkan untuk memohon membuat latihan praktikal di sini ye.

Tour guide kami semasa di sini adalah merupakan pelajar praktikal yang sedang menyiapkan degree dari universiti tempatan.

Harga Tiket dan Waktu Operasi

Waktu Operasi: 9.00 pagi - 6.30 petang (setiap hari).

Waktu masuk terakhir: 5.30 petang

Harga Tiket: Perlu tengok di website kerana ada pelbagai pakej, setiap aktiviti ada bayaran tiket lain, kadang-kadang ada promosi dan sebagainya tapi untuk standard entrance harganya adalah RM55/dewasa dan RM35/kanak-kanak.

Disebabkan tidak pergi ke banyak tempat di The Habitat ini, makanya gambar-gambar yang dirakamkan pun cuma sekupang dua di sini.

In sya Allah bila Malaysia telah bebas Covid19 dan dikurniakan rezeki, den hendak pergi ke semua checkpoints yang terdapat di The Habitat ini apabila berpeluang ke sini suatu hari nanti.

Lokasi: https://g.page/thehabitatph?share

Untuk maklumat lanjut tentang The Habitat, boleh layari:

Website: https://thehabitat.my/

Facebook: https://www.facebook.com/thehabitatpenanghill/

0 Comments