Korang tau tak Pulau Pangkor ada tempat pendaratan penyu? Serious den tak pernah tau sampai la lawatan bersama BBSAP media baru-baru ini. 

Tahniah kepada Tuan Zulhisham bin Ahmad Shukori, Pegawai Daerah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung, En. Rasli Ibrahim dan komuniti di Pulau Pangkor kerana berjaya menyediakan kawasan seluas 400 meter berpagar bagi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Teluk Ketapang bagi pemeliharaan dan pemuliharaan penyu bagi generasi yang akan datang.

Latar Belakang 

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Teluk Ketapang merupakan projek pemuliharaan penyu oleh komuniti di Pulau Pangkor yang diketuai oleh En. Rasli Ibrahim yang bermula pada 2017 dan tidak mendapat dana dan bantuan daripada Kerajaan dan mana-mana NGO alam sekitar. Ianya lebih kepada aktiviti sukarela komuniti.
Semasa projek ini dimulakan pada 2017, terdapat penyu yang naik ke pantai dan bertelur. Data pada 2019 menunjukkkan peningkatan penyu yang mendarat di sini.

Spesies penyu yang bertelur di Pantai Teluk Ketapang ini adalah Penyu Agar atau Green Turtle.
En Rasli merupakan pioneer yang membangunkan tempat ini
Anak-anak Penyu Karah atau Hawksbill Turtle juga ditemui di pantai ini tapi di pantai mana ia bertelur dan sarangnya masih tidak berjumpa.

En. Rasli bekerjasama dengan pakar penyu dari Universiti Sains Malaysia (USM) di dalam penyelidikan dan pemuliharaan penyu di sini.
Taging yang diletakkan pada penyu bagi tujuan penyelidiakan dan pengumpulan data
Jejak dan Sarang Penyu

Pertama kali dalam hidup den dapat tengok jejak tinggalan penyu di pantai.
Pertama kali juga dapat tengok sarang penyu yang semulajadi.

Alhamdulillah rezeki sungguh. 

Benarlah seperti kata Surah Ar Rahman “maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan”.

Sarang penyu yang dijumpai oleh En Rasli dan pasukannya akan dilindungi tanpa memberi impak kepada persekitaran semulajadi sarang telur tersebut.
Hati-hati ye. Sarang penyu nan satu ini di bawah pokok yang banyak kerengga
Sarang di kawasan panas akan menghasilkan anak penyu betina dan sarang di kawasan sejuk akan menghasilkan penyu jantan.

Sarang yang dijumpai pada 2017 adalah 17 buah dan pada 2019 sebanyak 25 sarang ditemui.

1000 lebih anak penyu dilepaskan ke laut pada 2017 dan sehingga awal 2020 sebanyak 5,000 lebih anak penyu telah diselamatkan.

Tapak Hatcheri Insitu 

Anak penyu yang baru menetas akan dipelihara di tapak hatcheri insitu sehingga 3 bulan bagi meningkatkan tahap kemandirian anak penyu tersebut supaya dapat survive bila dilepaskan ke laut. 
 
Kolam Penyu

Terdapat 3 buah kolam penyu yang menempatkan penyu mengikut peringkat umur bagi tujuan rekod, data dan penyelidikan.

Den sempat melawat kolam anak penyu berumur 7 bulan. Di sini kita dibenarkan memegang penyu dengan pemantauan oleh En Rasli atau anaknya. Ada cara untuk pegang penyu supaya tidak mencederakannya. 
Seronok tengok penyu-penyu berumur 1-3 tahun makan ikan-ikan segar yang diberikan. Sakan depa berebut-rebut makan. Penyu ini memang tak boleh dipegang oleh sesiapa ye.
Makan ikan fresh depa ni
Poster Maklumat

Walaupun galeri maklumat masih belum ada, masih ada beberapa maklumat yang kita boleh dapat melalui poster yang ditampal di sekitar pusat ini.
Program Penyelidikan Pemuliharaan Penyu 

Projek penyelidikan USM di sini dengan kerjasama En Raslan termasuklah pengumpulan data melalui bilangan telur penyu, bilangan penyu, meletakkan tag pada kaki penyu, pelepasan penyu, asuhan penyu dan sebagainya.

Program Kesedaran Awam

En Raslan maklumkan program bersama kanak-kanak tadika, sekolah, penuntut university telah diadakan beberapa kali di dalam usaha untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keperluan pemuliharaan penyu di pusat ini.

Terdapat sukarelawan daripada luar negara seperti Kanada dan Perancis yang memberikan bayaran untuk menjadi sukarelawan di pusat ini.

Waktu Operasi dan Bayaran Masuk

Waktu Operasi: 10 pagi – 7 malam (setiap malam)

Bayaran Masuk: Dewasa: RM 5.00

Kanak-Kanak: RM 3.00 (kanak-kanak bawah 2 tahun ke bawah percuma)
Sumbangan

Disebabkan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Teluk Ketapang ini dibangunkan oleh komuniti dan tidak mendapat dana daripada mana-mana pihak, sebarang sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada semua adalah amat dialu-alukan.

Tenaga sukarelawan: Bagi menguruskan pusat ini. 

Pembinaan: Membantu di dalam pembinaan kolam untuk menempatkan penyu-penyu bagi tujuan data dan penyelidikan. Pembinaan galeri maklumat tentang pemuliharaan penyu. Pembinaan dewan mini untuk taklimat dan sebagainya.

Bahan Mentah: keperluan bagi membina kolam penyu, galeri, dewan dan lain-lain.

Social Media: Sekiranya ada yang hendak buatkan website atau jadi moderator untuk akaun instagram, etc.

Membawa keluarga, sanak saudara dan kawan-kawan untuk melawat pusat ini.

Sekira ada yang hendak memberi sumbangan dalam bentuk wang pun boleh juga.

Sebarang bentuk sumbangan yang hendak diberikan boleh merujuk kepada En Rasli di nombor yang den nyatakan di bawah ye.
En Rasli - orang kuat pusat ini
Korang boleh tengok den jalan-jalan di pusat ni di sini ye https://youtu.be/dBc4tVGalaU

Untuk sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan berkaitan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Teluk Ketapang, sila hubungi:

Facebook: https://www.facebook.com/Pusat-Konservasi-dan-Penerangan-Penyu-Teluk-Ketapang-Pulau-Pangkor-101103474773832/


Telefon: 0175919137 (En. Rasli Ibrahim)
Bersama En Rasli membuat the turtle signal. Sign yang digunakan oleh divers atau orang yang snorkeling apabila hendak maklumkan mereka terjumpa penyu
Terima kasih kepada Taraf Nusantara Sdn. Bhd. dan Intelectasia Consultancy yang memberikan peluang kepada den untuk sertai BBSAPmedia selama 3 hari 2 malam melawat integrated township, BBSAP dan Pulau Pangkor lalu menyebabkan den berpeluang berkenalan dengan penyu-penyu yang terdapat di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Teluk Ketapang.
Sepintas Lalu Maklumat Tentang Penyu di Teluk Ketapang

Penyu mula bertelur pada umur matang 25 tahun.

Penyu akan kembali bertelur di pantai mana ia dilepaskan.

Penyu betina akan mengawan dengan paling kurang 4 ekor penyu jantan bagi membolehkan telur disenyawa.

Penyu mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah hingga 3 jam untuk bertelur.

1 musim penyu akan bertelur 5 kali secara berperingkat setiap 2 minggu. 

Berdasarkan rekod di Teluk Ketapang, penyu bertelur paling tinggi 165 biji bagi 1 musim. Kadar penetasan telur penyu di Teluk Ketapang setakat ini adalah 90%. Telur penyu akan menetas dalam tempoh masa 48 - 60 hari. Tempoh 52 hari pertama biasanya anak betina dan lebih 52 hari biasanya anak jantan.

Selepas habis bertelur, penyu akan kembali ke laut sebelum datang semula ke pantai yang sama untuk bertelur dalam tempoh 2 tahun.

Jom semua bawa family dan kawan-kawan ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Teluk Ketapang.

0 Comments